HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Julai 2017

Agenda Ezam dan Khairuddin tidak sama

 Shawaliah Hadir

Parti Generasi Baru tidak terkesan dengan kehilangan kedua-dua mereka sebaliknya akan terus bergerak dengan agenda dan perjuangan asal menarik pemuda dan bawa politik baharu

KUALA LUMPUR: Parti Generasi Baru tidak terkesan dengan keputusan yang dibuat oleh Mohd Ezam Mohd Nor untuk meninggal parti itu kerana agenda utama yang bercanggah.

Menurut Setiausaha Agungnya S Gobi Krishnan parti tersebut sememangnya bergerak dengan agenda asal iaitu menarik anak muda dan membawa politik baharu dalam negara berbeza dengan agenda utama mereka dalam masa sama mahu menukar nama parti kepada Parti Bebas Rasuah (PBR).

“Perjuangan New Gen sejak mula ditubuhkan hanya satu, iaitu untuk memberi peluang lebih kepada anak muda dan juga untuk membawa politik baharu jadi perjuangan itu tetap berterusan tidak kira siapa yang ada dan siapa yang keluar.

“Tidak terkesan sebab mereka masuk kerana mahu bawa parti ini ke arah melawan rasuah melalui penukaran nama juga sebab itu saya setuju sebab saya nampak ia satu jalan (haluan).

“Jadi bila nampak nama itu tidak diluluskan jadi saya rasa tidak guna juga mereka kekal, sebab mereka punya agenda berlainan,” katanya kepada Berita Daily.

Gobi berkata demikian dalam masa sama mengesahkan surat peletakan jawatan dan keluar parti yang diterimanya pada 4 Julai.

Jelasnya, Ezam telah berbincang dengannya terlebih dahulu sebelum menyerahkan surat pengundurannya.

“Surat ini semalam saya dapat daripada saudara Ezam memang dia ada bagitahu saya sebelum ini.

“Kita nampak Ezam masuk parti ini sebab dia nak tukar kepada parti bebas rasuah. Jadi bila nampak
RoS (Pendaftar Pertubuhan) pun tidak luluskan pertukaran nama saya pun bagitahu dia keadaan itu jadi selepas itu kita bincang dan dia buat keputusan untuk keluar dan dia tumpukan NGOnya, Hisbah Centre,” ujarnya lagi.

Terdahulu Khairuddin Abu Hassan berkata kepada Berita Daily bahawa beliau telah melepaskan semua jawatannya dan keluar dari Parti Generasi Baru.

Tindakannya itu walaubagaimanapun tidak dimaklumkan kepada parti secara rasmi sehingga hari ini.

Sementara itu kata Gobi, ketiadaan Presiden dan Timbalan Presiden dalam Parti Generasi Baru bukan isu yang besar kerana struktur parti itu bertonggakkan kepada jawatan Setiasaha Agung yang disandangnya.

“Sebelum mereka (Ezam dan Khairudin) masuk memang parti ini sudah sedia ada, dan saya selaku pengasas dan Setiausaha Agung masih ada.

“Satu perkara yang orang kena faham dalan Parti Generasi Baru struktur parti di mana Setiausaha Agung adalah pemegang jawatan utama bukan Presiden. Itulah strukturnya yang saya tubuhkan, jadi ia kekal,” katanya yang juga merupakan pengasan parti itu.

Sehubungan itu beliau berpendirian parti tidak perlu tergesa-gesa untuk mencari pengganti.

Dalam pada itu katanya lagi, Parti Generasi Baru akan tetap bekerjasama dengan Ezam menerusi NGO yang diterajuinya iaitu Hisbah Centre.

Terdahulu pada 31 Mac lalu, Gobi mengumumkan pertukaran nama Parti Generasi Baru (NewGen Party) kepada Parti Bebas Rasuah (PBR), selain turut mengumumkan pelantikan ahli jawatankuasa eksekutif pusat yang baharu.

Kemudian wujud kontreversi apabila kepimpinan asal parti itu mendakwa kedua-dua bekas pemimpin Umno itu merampas parti berkenaan dan menukar namanya kepada Parti Bebas Rasuah (PBR) seterusnya membuat laporan kepada RoS.

Tiada ulasan: