HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

Ahli MT Umno mahu ‘malaun’ FGV letak jawatan


Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Puad Zarkashi menyarankan saki baki yang menjadi ‘malaun’ di dalam Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) supaya secara bermaruah dan sukarela meletak jawatan dan meninggalkan syarikat itu.

Menulis satu status yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, bekas ahli parlimen Umno itu menuntut satu pembersihan ‘total’ atau menyeluruh bagi memulihkan semula imej syarikat itu yang terjejas, baru-baru ini.

“FGV perlu melakukan ‘pembersihan total.’ Apa tindakan selanjutnya setelah Tan Sri Shahrir Abdul Samad menjadi pengerusi Felda dan Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob menjadi pengerusi sementara FGV?

"Perniagaan juga melibatkan soal persepsi. Jika persepsi negatif masih melanda FGV, harga saham tetap terjejas.

"Justeru, saki baki yang menjadi 'malaun' di dalam FGV perlu secara bermaruah dan sukarela meletak jawatan dan meninggalkan FGV," katanya.

Selain itu, beliau juga mengingatkan FGV supaya tidak lagi menyusahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seperti yang berlaku sebelum ini.

“Jangan tunggu sehingga pihak kerajaan dan pimpinan atasan mengambil tindakan terhadap mereka. Berhenti segera,” katanya.

Kemelut FGV mencapai kemuncak apabila bekas pengerusi Tan Sri Isa Samad dan Lembaga Pengarahnya mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Zakaria Arshad dan tiga pegawai kanan lain untuk bercuti 6 Jun lalu.

Mereka yang lain itu adalah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu sebelum melantik Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) JPM Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku Pengerusi FGV menggantikan Isa yang meletak jawatan.

Zakaria pernah mendakwa beliau cuba menghalang pelaburan ratusan juta yang dibuat oleh lembaga pengarah syarikat tersebut yang disifatkannya sebagai "tidak masuk akal".

Namun ini disangkal oleh Isa dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut memanggilnya bersama sterinya Bibi Sharliza Mohd Khalid untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata SPRM perlu segera mengambil tindakan terhadap mereka yang mengamalkan rasuah ketika berada di dalam FGV.

"SPRM juga perlu bertindak segera dan mengambil tindakan 'without fear and favor' kepada mereka yang meninggalkan kudis terhadap Felda dan FGV.

"Pengerusi Felda dan FGV perlu diberi peluang sepenuhnya memimpin team baru demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.


Tiada ulasan: