HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Julai 2017

Amanah akan cabar keputusan kerajaan lanjutkan khidmat ketua hakim

MALAYSIA DATELINE

Salahuddin Ayub DoJ


Parti Amanah Negara (Amanah) akan memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melanjutkan perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Timbalan presiden Salahuddin Ayub berkata, tindakan kerajaan yang tidak mengikut Perlembagaan itu tidak pernah berlaku dan telah mengheret Malaysia sekali lagi ke dalam krisis Perlembagaan baharu.

"Tindakan (Datuk Seri) Najib (Razak) jelas tidak mengendahkan Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana, menurut laporan, pelantikan itu dibuat di bawah perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan dan ini menyebabkan pelantikan Tan Sri Raus adalah bercanggah dgn Perkara 125 (1) Perlembagaan Persekutuan, sepertimana menurut pendapat mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Muhammad," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri berkata Raus akan terus memegang jawatan ketua hakim negara untuk tempoh tiga tahun lagi mulai 4 Ogos manakala Zulkefli akan terus berkhidmat sebagai presiden Mahkamah Rayuan untuk 2 tahun lagi mulai 28 September.

Mereka dijadual bersara apabila usia mencecah 66 tahun ini.

Kerajaan berkata keputusan mengekalkan Raus dan Zulkefli dibuat mengikut Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.

Salahuddin berkata, Najib cuba berselindung di bawah Perkara 122 (1A) bagi mewajarkan pelantikan Tan Sri Raus.

"Ironinya, semua maklum bahawa sebelum ini kerajaan sudahpun melanjutkan pelantikan Tan Sri Raus sebagai Ketua Hakim Negara setelah umur beliau mencecah 66 tahun dan lanjutan itu hampir tamat tempoh, dan sekali lagi beliau dilanjutkan perkhidmatan.

"Tambahan lagi, kerajaan juga menyebut pelantikan Tan Sri Raus bagi tempoh tiga tahun lagi dibuat di bawah Perkara 122 (1A) sedangkan Perkara 122 (1A) hanya memperuntukan kuasa Yang Di-pertuan Agung (YDPA) melantik hakim tambahan Mahkamah Persekutuan.

"Perdana Menteri juga seolah-olah merampas kuasa legislatif dengan meminda Perlembagaan Persekutuan secara arbitrari," tegasnya.

Semalam bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad secara terbuka menyatakan bahawa lanjutan selanjutnya kepada Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif selepas 66 tahun dan enam bulan adalah tidak berperlembagaan.

Tun Hamid juga menegaskan bahawa lanjutan perkhidmatan melepasi tempoh 66 tahun dan enam bulan boleh menjejaskan kebebasan badan kehakiman.

Malah presiden Majlis Peguam Malaysia, George Varughese melahirkan kebimbangan bahawa lantikan perpanjangan Ketua Hakim Negara bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi secara tidak adil juga memungkiri pejabat Ketua Hakim Negara Tan Sri Raus dalam kontroversi, serta meletakkan ancaman kepada institusi Ketua Hakim Negara dan memberi kesan di sana bahawa tidak ada orang lain dalam badan kehakiman yang boleh mengambil jawatan itu.

Tiada ulasan: