HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Julai 2017

Anggota polis parah jatuh tingkat 3 ketika kejar tahanan lolos

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, anggota berpangkat Lans Koperal berusia 30-an terbabit sedang menunggu suspek melakukan pemeriksaan kesihatan di tingkat tiga hospital berkenaan bersama seorang lagi anggota.

MalaysiaGazette

KEPALA BATAS – Seorang anggota polis cedera parah selepas terjatuh dari tingkat tiga Hospital Kepala Batas (HKB) ketika cuba menangkap seorang tahanan yang cuba meloloskan diri petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang itu, anggota berpangkat Lans Koperal berusia 30-an terbabit sedang menunggu suspek melakukan pemeriksaan kesihatan di tingkat tiga hospital berkenaan bersama seorang lagi anggota.

Bagaimanapun, suspek yang bergari bertindak melarikan diri dengan meniti di tepi tingkap wad berkenaan namun disedari anggota polis berkenaan yang mengejarnya sebelum terjatuh.

Akibat kejadian itu, mangsa yang bertugas di bahagian stor barang kes ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara mengalami kecederaan di bahagian kepala, pinggang dan kaki.

Bagaimanapun, suspek berusia 59 tahun yang mempunyai 17 rekod jenayah lampau itu berjaya ditahan semula dengan bantuan pengawal keselamatan HKB.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Zainol Samah mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan anggota berkenaan kini dilaporkan stabil.

Ujar beliau, polis telah membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang sah. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: