HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

Anwar tak akan dilepaskan dari penjara cepat-cepat, kata Dr Mahathir

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic


PETALING JAYA: Sekali pun Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum ke-14, ia tidak akan bingkas melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi PH itu juga tidak menolak kemungkinan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri semula sekiranya gabungan itu menawan Putrajaya dan menegaskan Anwar hanya akan menjadi  “Perdana Menteri ke-8”.

Dr Mahathir berkata jika pakatan pembangkang memenangi PRU-14, usaha akan dibuat untuk Anwar memperolehi pengampunan daripada Yang di Pertuan Agong, namun ia bukan perkara utama.

"Dia akan dibebaskan dengan usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya, dan kita akan pohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan lalui proses undang-undang.

" (Namun) bukan dengan segera kerana Perdana Menteri yang akan ambil alih ini mempunyai tugas yang banyak. Sebab itu kita sebut di sini banyak perkara yang perlu disegerakan," katanya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara setelah disabitkan ke atas kesalahan sodomi untuk kali kedua dan tidak layak untuk bertanding pada PRU-14.

Mahathir yang ditanya sama ada beliau melihat dirnya sebagai perdana menteri ke-7 negara jika pembangkang menang PRU-14 bagaimanapun mengelak daripada memberi jawapan jelas.

"Yang itu kita akan isytihar tak lama lagi. Nombor tujuh  akan kita isytihar tapi hari ini kita isytihar nombor lapan (Anwar) sahaja," ujarnya.

 Dr Mahathir berkata demikian selepas mesyuarat empat jam Pakatan Harapan yang melantik beliau sebagai pengerusi dan Anwar selaku Ketua Umum gabungan empat parti itu.

Dr Mahathir menubuhkan PPBM setelah keluar daripada Umno ekoran tidak mendapat sokongan dalam parti itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau, anaknya Datuk Seri Mukhriz dan mantan timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan PPBM yang kini bersekongkol dengan PKR pimpinan Anwar, DAP dan Amanah untuk mencapai hasrat itu.

Pada sidang media awal pagi tadi, Mahathir mengumumkan beberapa janji termasuk menghapuskan GST jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum yang dijangka diadakan sebelum pertengahan tahun depan.

Bagaimanapun janji-janji itu tidak diimbangi dengan sebarang pelan untuk menampung kehilangan pendapatan kerajaan iaitu lebih RM40 bilion jika GST dimansuhkan.

Tiada ulasan: