HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Bangkai gajah di laman sendiri

 

ULASAN Laporan terbaru Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS) tentang dakwaan penyelewengan dana 1MDB telah menimbulkan pelbagai reaksi rakyat Malaysia yang tidak lekang menceritakannya, meskipun di hari lebaran sewaktu kunjung mengunjung sanak-saudara dan teman.

DOJ sudah tiga kali memfailkan saman sivilnya, selepas kali pertama melakukannya pada 20 Julai 2016 yang lalu. Langkah ini memberikan kesan yang sangat besar dan boleh dianggap sebagai skandal terbesar di abad ini. Langkah ini dilakukan bagi melindungi kewangan AS dan sistem perbankan bawah Jabatan Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi sambil menggunakan aset yang dirampas untuk mengembalikan manfaat kepada pihak yang menanggung kerugian, dalam aspek ini rakyat Malaysia.

Menurut DOJ, makna 'penyitaan sivil' (civil forfeiture) adalah proses undang-undang yang pihak berkuasa akan merampas aset pihak yang disyaki terlibat dalam perlakuan jenayah atau aktiviti yang menyalahi undang-undang. Tindakan ini tidak semestinya menyebabkan pemilik harta tersebut didakwa, paling utama ialah harta-harta yang diperoleh secara haram akan disita oleh kerajaan AS bawah undang-undang tertentu.

Ketika Ramadan, DOJ telah memfailkan saman sivil ketiganya berkaitan 1MDB dan mendakwa sejumlah dana AS$4.5 bilion (RM19.3 bilion) telah diselewengkan, kini mereka dalam proses merampas aset AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

Turut disenaraikan ialah sejumlah 28 barangan kemas lain yang didakwa dibeli untuk isteri Malaysian Official 1 (MO1), termasuklah rantai berlian merah jambu 22 karat yang bernilai AS$27.3 juta. MO1 ialah Datuk Seri Najib Razak, perdana menteri seperti yang disahkan oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Jikalau ini hanya sekadar satu skrip rekaan atau fitnah semata seperti mana yang sering disuarakan oleh pimpinan Umno-BN, mengapa DOJ begitu terperinci dan teliti untuk menyenaraikan barang-barang yang dibeli dengan duit curi itu?

Suara-suara sumbang sebagai jurucakap pembela kerajaan kleptokrasi (perompak, penyangak dan pencuri) hanya boleh berterusan berbohong bagi menyembunyikan pembohongan demi pembohongan serta penipuan yang sedang didedahkan satu persatu di merata dunia sedangkan di dalam negara sendiri 'tiada kes'. Skandal 1MDB begitu besar impaknya kerana telah melibatkan banyak negara termasuklah Singapura dan Switzerland.

Baru-baru ini saya ditemuramah oleh Al Jazeera yang bertanyakan tentang kesan skandal 1MDB terhadap negara. Saya katakan dengan tegas bahawa kesannya amat buruk terutama apabila dana terbesar Malaysia disedut dan diselewengkan kepada pelbagai pihak sedangkan sepatutnya ia memberi manfaat kepada rakyat. Yang terkini, menurut laporan oleh The Wall Street Journal, syarikat-syarikat yang berkait dengan Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke AS dipercayai telah menerima AS$66 juta daripada akaun pesisir pantai yang terkandung wang yang didakwa diselewengkan daripada dana 1MDB. Ini amat mengejutkan! Pelbagai pihak dalam dan luar negara telah menangguk di air keruh!

Tindakan DOJ bertepatan kerana dipercayai wang 1MDB telah diselewengkan dalam negara mereka dan melanggar undang-undang negara tersebut. Oleh itu, AS mempunyai hak untuk bertindak dalam kerangka dan bidang kuasa mereka kerana kesalahan telah dilakukan dalam negara mereka.

Yang kaya bertambah kaya

Apa yang sebenarnya menyakitkan hati dan malang buat rakyat Malaysia ialah berbilion ringgit yang dicuri ini bukan digunakan untuk membantu rakyat tetapi didakwa bagi kegunaan sendiri dan beberapa orang kroni. Yang kaya bertambah kaya, rakyat semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin menggunung tingginya. Terlajak perahu boleh diundur, namun terlajak perbuatan menyesal sehingga ke akhirnya.

Keputusan Datuk Seri Najib Razak memecat timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kemudiannya menggantikan peguam negara, Tan Sri Gani Patail serta pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat aktif dalam penyiasatan dan pembongkaran 1MDB memberi petunjuk jelas akan konspirasi cubaan untuk menutup skandal ini.

Sepatutnya Malaysia sebagai sebuah negara Islam turut mengambil tindakan yang sama bagi mencegah kemungkaran (kecurian, penyelewengan) daripada terus berleluasa. Namun, sewaktu kes 1MDB dibuka, apa sudah terjadi kepada Muhyiddin dan Gani Patail? Bagaimana keadilan hendak diangkat?

Saya begitu yakin rekod negara kecil dengan sejarah jenayah kewangan terbesar dunia akan terus dipegang oleh negara kita untuk tempoh yang sangat panjang sekiranya mereka yang terlibat secara berterusan mengunci mulutnya tanpa memberikan penjelasan kepada negara tentang skandal ini.

Tindakan DOJ ke atas jenayah pengubahan wang haram yang berlaku di negara tersebut sebenarnya tiada berlaku sebarang campur tangan asing oleh AS kerana secara dasarnya. Mana-mana negara sekalipun berhak mengenakan tindakan terhadap sesiapa yang telah melanggar undang-undang negara mereka seperti mana yang dilakukan terhadap syarikat pelaburan 1MDB.

Dalam negara sendiri kita sebagai rakyat amat risau, tiada sebarang bentuk perbincangan malah jauh sekali tindakan diambil terhadap jenayah rompakan besar-besaran terhadap dana rakyat. Parti pemerintah pada hari ini hanya membisu mengenai hal ini, jika ada yang 'berbunyi' sekalipun hanya berniat untuk mempertahankan 1MDB dan individu yang disabitkan termasuk MO1.

Apakah yang masih tertinggal sebagai kedaulatan negara kita? Apabila hampir kesemua institusi utama telah dirobohkan dan dikuasai 'sang penguasa'. Di mana lagi tempat untuk rakyat mencari suara hati mereka untuk menjawab persoalan-persoalan dunia sedangkan pimpinan Umno-BN semuanya seiya sekata sehati sejiwa memperlekehkan DOJ.

Mengapa DOJ seolah-olah dipersalahkan hanya kerana menyiasat dan mendakwa kes yang berlaku di negara mereka sendiri? Tindakan pimpinan Umno-BN yang mengeluarkan kenyataan-kenyataan memperlekehkan DOJ hanya menyerlahkan kedangkalan dan emosi mereka dengan tujuan untuk membiarkan pentadbiran kleptokrasi bermaharajalela.

Pakatan Harapan dan parti-parti pembangkang baru-baru ini telah mendesak supaya laporan siasatan oleh institusi-institusi siasatan negara dibentangkan melalui Kertas Putih di Parlimen. Menurut Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketua pembangkang dan presiden PKR, agensi berwajib seperti Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu membuka kembali kertas siasatan.

"Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya sembilan negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun, kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib Malaysia. Perdana menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini,” tegas beliau.

Langkah yang sewajarnya diambil ialah membersihkan nama negara dan mengambil tindakan pro-aktif menyelesaikan kemelut akibat penyelewengan dana 1MDB. Jangan tunggu pihak yang lain mencari bukti, merampas aset dan menegak keadilan sedangkan isunya terpampang jelas dan besar bagai bangkai gajah di laman sendiri. Laksanakan ini demi rakyat.


SYED IBRAHIM SYED NOH ketua penerangan PKR.

Tiada ulasan: