HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Julai 2017

Bapa longlai lihat mayat anak tersepit lif

MALAYSIAKINI



Seorang bapa longlai selepas melihat mayat anak sulungnya tersepit pada lif mengangkat barang ketika sedang bekerja di sebuah kedai perkakas di Jalan Pekan Pendang, Pendang, semalam.

Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, dari Kampung Paya Palas, Pendang, maut selepas ditemukan tersepit pada jurang antara lif barang dan siling di bangunan kedai dua tingkat itu pada 3 petang.

Bapa mangsa, Zaini Saad, 45, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan kerja anaknya yang datang ke rumahnya di  Kampung Paya, Kuala Rimau.

“Saya ada di rumah dan dalam jam 3.30 petang, rakan sekerja anak datang beritahu yang anak saya kemalangan, jadi saya terus bergegas ke tempat kerjanya sebelum masuk untuk melihat mayat anak. Saya terus longlai dan sedih melihat keadaan anak ketika itu.

“Saya terus keluar dari kedai bagi membolehkan pihak bomba mengeluarkan mayat anak sebelum menaiki jip polis ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB)," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah semalam.

Zaini berkata anak sulungnya itu baru saja bekerja di kedai terbabit sejak empat bulan lalu bagi membantu keluarga dan tiga adiknya selepas berhenti kerja di sebuah kedai makan di Kuala Lumpur.

“Dia mula bekerja sejak berumur 15 tahun dan seorang yang sangat berdikari. Bila dia minta saya carikan tempat kerja di kampung, saya bantu carikan... saya ingat tiada masalah kerana bekerja di dalam kedai tetapi ini semua sudah takdir.

“Saya reda manakala isteri, Chik Saad, 40, berada di rumah kerana masih dalam keadaan sedih,” katanya.

Zaini berkata mayat anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kuala Rimau, Pendang selepas proses bedah siasat selesai.

Ketua Polis Daerah Pendang DSP Fadzil Hashim ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.
Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat negeri, Mohd Firdaus Daud berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 3.05 petang dan tiba di lokasi 25 minit kemudian.

Katanya, setibanya di tempat lokasi didapati mangsa Muhammad Zairul Naim Zaini, 16, yang berasal dari Kampung Paya Palas, Pendang tersepit di dalam lif barang di tingkat dua kedai tersebut.

"Bahagian bawah badan mangsa berada di dalam lif sementara bahagian dada ke atas terjulur ke tingkat bawah.

"Kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
- Bernama


Tiada ulasan: