HALAMAN SANTAI

Isnin, 10 Julai 2017

'Begini caranya urus rumah tak terjual'

MALAYSIAKINI


Kerajaan Johor dicadang membeli dan menjual semula harta tanah bumiputera yang tidak terjual dan menjualnya semula melalui skim sewa beli (RTO) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub berkata pendekatan itu akan memudahkan orang ramai memiliki rumah dengan menganggap bayaran sewa bulanan sebagai ansuran pembelian perumahan.

“Skim RTO boleh dibuat secara kerjasama dengan mana-mana bank. Skim RTO ini secara tidak langsung akan meningkatkan bilangan rumah mampu milik di negeri Johor,” katanya.

The Star pada 7 Julai lalu melaporkan terdapat lambakan kira-kira 80,000 harta tanah bumiputera yang belum dijual dan kerajaan sedang berusaha menyelesaikannya bersama pemaju.

Harta tanah itu, yang bernilai puluhan juta ringgit, merangkumi kondominium, pangsapuri, rumah kedai, lot industri dan rumah mewah.

Exco perumahan dan kerajaan tempatan Johor Datuk Md Jais berkata akan berbincang segera dengan Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA).

“Saya diberitahu bahawa pemaju berdepan banyak kekangan, termasuk aliran tunai kerana memegang unit bumiputera dalam tempoh yang lama.

“Kita harus cari penyelesaian menang-menang dalam isu ini kerana kita perlukan pemaju untuk terus membina rumah mampu bilik,” beliau dipetik sebagai berkata ketika diwawancara.

Bon jangka masa panjang

Dalam kenyataan hari ini, Salahuddin berkata terdapat kes pengguna yang layak tetapi tidak dapat membeku Rumah Mamou Milik Johor (RMMJ) kerana gagal mendapat pinjaman bank kerana tiada kerja tetap atau penyata kewangan yang lengkap.

Bagi mendapatkan dana bagi tujuan itu, AMANAH berkata Johor boleh menerbitkan bon atau sukuk jangka panjang.

Sementara itu, bagi lot bumiputera yang tidak terjual yang bukan kategori RMMJ, Kerjaan Johor boleh menubuhkan Tabung Amanah Hartanah Bumiputera.

Badan itu, katanya, boleh membeli lot-lot bumiputera yang tidak terjual tetapi mempunyai lokasi strategik dan jangkaan kenaikan nilai modal di masa hadapan.

“Maknanya tabung amanah tersebut akan memegang hartanah dan menjualkan kembali di masa hadapan bila mana ada pembeli bumiputera yang mampu untuk membelinya.

“Sementara itu, lot bumi itu akan disewakan sebelum dijual kepada pembeli bumiputera mengikut harga pasaran semasa ianya dijual,” katanya.


Tiada ulasan: