HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Julai 2017

Bekas ahli persoal sama ada 865 cawangan DAP benar-benar wujud

Oleh Shuhaniza
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Tan Tuat Tat mempersoalkan sama ada sememangnya wujud 865 cawangan parti itu sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini.
 
Tegas Tan, jika 865 cawangan sememangnya wujud, maka DAP tidak ada sebab untuk 'takut' mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).  
 
"Apa susahnya untuk DAP (ikut arahan), sebab DAP sekarang masih sah, hanya barisan kepimpinan yang tak sah.
 
"Adakah ada 865 cawangan itu? Mungkin mereka tak ada pun cawangan sebanyak itu, mereka hanya suka-suka letak saja. Sebab itu mereka tak mahu buat pemilihan semula," katanya kepada DAP.
 
Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Datuk Mohammad Razin Abdullah yang memaklumkan pelantikan 20 anggota CEC DAP serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan semula yang diadakan pada 29 Sept 2013 adalah tidak sah dari segi undang-undang.
 
Menurut Razin, pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC DAP bertarikh 15 Dis 2012, melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 cawangan.
 
"Adakah kerana 865 cawangan itu bukan 865 sebenarnya?," katanya lagi.
 
Dalam pada itu Tan juga tidak menolak kemungkinan keengganan parti pimpinan Lim Guan Eng itu untuk mengadakan pemilihan semula kerana barisan kepimpinan yang ada takut 'ditolak' oleh perwakilan.
 
"Mereka tak mahu buat pemilihan semula kerana kemungkinan besar Lim Guan Eng akan dikalahkan. Dan (Lim) Kit Siang takut dengan Dr Tan Seng Giaw, kerana Dr Tan disukai akar umbi," ujarnya merujuk kepada Naib Pengerusi DAP itu. 
 
Beliau menambah, situasi Guan Eng yang sedang berdepan dengan kes rasuah membabitkan penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran, mungkin memberi kesan kepada keputusan pemilihan semula CEC jika ia dijalankan kelak.    
 
Ujarnya juga, kebimbangan lain yang membelenggu DAP sehingga enggan mengadakan pemilihan semula adalah tahap kesedaran ahli parti terhadap 'kekotoran' yang melanda parti itu.
 
"Dulu memang ramai akar umbi tidak tahu tentang pemilihan CEC ini...mereka hanya masuk dan mengundi. Tapi sekarang mereka lebih faham mengenai bagaimana sebenarnya fungsi CEC. 
 
"Sebelum ini, tak ramai yang faham, mereka datang dan undi saja orang-orang tertentu tapi mereka tak tahu pun mengenai 'kekotoran' CEC sebenarnya," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: