HALAMAN SANTAI

Sabtu, 1 Julai 2017

DAP bimbang Malaysia terdedah kepada jenayah penyeludupan senjata antarabangsa


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Walaupun radar ketenteraan berteknologi tinggi dilaporkan hilang telah dikesan, insiden itu membangkitkan persoalan mengenai tahap keselamatan dan ketelusan pihak berkuasa.

Apa yang membimbangkan, pihak berkuasa langsung tidak menyedari radar tersebut telah ‘hilang’ sehingga pemeriksaan audit dilakukan – secara kebetulan.

“Adakah ini pengulangan insiden yang berlaku pada tahun 2009 di mana enjin jet pejuang F5 hilang, di mana pihak berkuasa mendiamkan diri terhadap kecurian yang berlaku dan hanya bertindak selepas perkara itu didedahkan Wikileaks?” soal Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong.

Insiden yang dilaporkan The Star semalam menyebut radar ketenteraan yang melalui Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor hilang di pelabuhan itu.

Peralatan bernilai jutaan ringgit itu dalam perjalanan dari Australia ke Belanda tetapi dilaporkan tidak mempunyai permit yang diperlukan.

Melahirkan kebimbangannya, Pengerusi DAP Johor itu berkata penyiasatan penuh perlu dilakukan oleh badan bebas dan tidak hanya bergantung kepada siasatan dalaman.

Katanya, Malaysia bukan sahaja dikenali sebagai negara ‘kleptokrasi’ global akibat kecurian puluhan billion dana pelaburan dalam skandal 1MDB tetapi juga terdedah kepada aktiviti penyeludupan senjata.

“Memandangkan Malaysia terletak di lokasi strategik di rantau geopolitik yang sensitif dan memiliki rekod rasuah yang tidak begitu cemerlang, kita berpotensi untuk menjadi tarikan kepada aktiviti penyeludupan,” kata Chin Tong.

Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan itu membangkitkan tiga persoalan berhubung insiden tersebut.

“Bagaimana radar ketenteraan tersebut tiba di pelabuhan tanpa memiliki dokumen yang diperlukan?

“Mengapa pihak kastam tidak mengambil tindakan segera sebaik sahaja mengetahui peralatan itu tiada permit sebaliknya berdiam diri sehingga pemeriksaan audit mendedahkan bahawa peralatan tersebut hilang?

“Bagaimana radar itu boleh diseludup keluar tanpa ada apa-apa kebenaran pelepasan?” soalnya.

Beliau menggesa supaya Kementerian Pertahanan dan Jabatan Kastam tegas dan mengambil langkah pencegahan untuk menghalang negara dari menjadi pusat penyeludupan senjata.

“Bagaimana pihak berkuasa Malaysia bertindak terhadap kejadian melibatkan peralatan sensitif ketenteraan ini adalah mustahak untuk mengembalikan keyakinan rakyat dan komuniti antarabangsa,” kata beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: