HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Julai 2017

DAP suburkan ‘lubuk maksiat’ di Pulau Pinang

IZWAN ABDUL HALIM
 
PERCAMBAHAN premis perjudian dan arak telah menjadi sebahagian pemandangan utama di Pulau Pinang. Ia berkembang subur di bawah Kerajaan DAP hingga diumpamakan ‘bagai cendawan selepas hujan’. Malah, kewujudan premis berkenaan didapati seiring dengan pembangunan yang semakin rancak di seluruh negeri itu.
 
Judi dan arak jugalah punca pertembungan panas antara PAS dengan DAP hingga membawa kepada pemecatan wakil PAS, Iszuree Ibrahim selaku Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang. Malah, berentetan hingga mengundang banyak tindakan angkuh DAP dalam Pakatan Rakyat yang berakhir putusnya hubungan bersama PAS
 
Walaupun pernah disuarakan PAS bahawa percambahan kegiatan tersebut berpunca dari tunjang kapitalisme yang menjadi dasar dan pendekatan pemerintahan DAP, namun ia pantas ditepis Ketua Menteri, Lim Guan Eng. Beliau sebaliknya membidas PAS supaya belajar memahami mengenai pentadbiran dan bidang kuasa negeri.
 
Guan Eng juga menyatakan bahawa lesen berkaitan dikeluarkan oleh Kerajaan Pusat dan hanya polis boleh mengambil tindakan penguatkuasaan. Beliau seakan cuba melepaskan diri dan membodohkan umum dengan reaksi seperti itu, sedangkan isu pertambahan tersebut langsung tidak dinafikannya
 
Guan Eng sebenarnya bukan sahaja dilihat menyembunyikan fakta mengenai lesen premis yang berada dalam kuasa pihaknya, bahkan jelas sekali telah berbohong. Beliau seakan membayangkan bahawa isu judi dan arak di Pulau Pinang bukan disebabkan olehnya. Walhal, pihak beliau telah menjawab soalan berkaitan pada Sidang Dun Pulau Pinang.
 
Dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dun Ketiga Belas yang bersidang pada 19 Mei 2014, Ahli Exco, Chow Kon Yeow telah menjawab bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan lesen premis setelah pemohon mendapat lesen dari Kementerian Kewangan
 
Malah, dalam sidang yang lain, Kon Yeow pernah menjawab soalan bagi pihak Guan Eng bahawa terdapat 130 kasino siber tidak berlesen yang dikenalpasti. Turut dinyatakan adalah tindakan terhadap premis Pusat Hiburan Awam antaranya:
 
i. Mengeluarkan tawaran kompaun dan mengambil tindakan rampasan
 
ii.Mengeluarkan surat amaran kepada pemilik lesen untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh PBT;
 
iii. Membatalkan lesen premis dan lesen hiburan jika pemilik lesen masih gagal mematuhi syarat-syarat pelesenan
 
iv.Menjalankan operasi bersama PDRM dan agensi-agensi berkaitan sekiranya melibatkan aktiviti perjudian dan kesalahan di bawah bidangkuasa jabatan berkenaan;
 
v.Menyita premis setelah didapati bersalah oleh Mahkamah.
 
 Jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri melalui PBT mempunyai kuasa atas premis yang membawa maksud boleh mengadakan sebarang pemberian atau sekatan lesen, selain tindakan penguatkuasaan bersama pasukan polis. Malangnya, enakmen yang digubal tidak dijadikan kawalan, sebaliknya ‘kesempatan’.
 
Enakmen berkaitan yang diwartakan telah digunakan untuk membanyakkan lagi premis judi dan arak serta pusat maksiat berkaitan. Ini tidak termasuk yang menjalankan aktiviti tanpa lesen yang berselindung disebalik perniagaan tertentu. Malah, berdasarkan ‘tabiat’ yang boleh difahami, tempat seperti ini juga menyembunyikan banyak kegiatan haram lain.
 
Amat dicurigai di tempat-tempat ini bersarangnya pelacuran, dadah, gangsterisme serta pelbagai jenayah. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi turut melontarkan kenyataan yang mengundang skeptikal bahawa beliau bimbang tauke judi membiayai parti politik di negeri itu.Parti manakah yang kebarangkalian dilihat hampir dengan durjana disebut Zahid itu?

Namun, pemerhatian yang dilakukan mendapati, susulan kenyataan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mengenai isu ini pada 10 Jun dan diikuti arahan Zahid untuk polis memerangi kegiatan tersebut, tiba-tiba semua premis tidak berlesen membekukan kegiatan mereka di seluruh negeri itu. Siapakah ‘Abang Besar’ yang berpengaruh mengadakan kawalan serentak atas semua itu? HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: