HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Julai 2017

Doktor berdepan beban kerja, tak cukup rehat demi pesakit



Oleh 

DOKTOR perubatan kerajaan yang sentiasa berdepan penyakit dan kematian, sebenarnya turut mengalami risiko kesihatan serius disebabkan masalah tidur yang teruk dan kekurangan diet seimbang.

Myelone Tharmaseelan, doktor di klinik kerajaan di Shah Alam, berkata beliau kadang-kala bekerja sehingga 13 jam kerana jumlah pesakit yang terlalu ramai.

Menurut Myelone, jumlah pesakit semakin bertambah saban tahun seiring peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang perlahan, kerana lebih ramai memilih hospital dan klinik kerajaan bagi mendapatkan rawatan penjagaan kesihatan dengan harga berpatutan.

Beliau berkata kadang-kala doktor tidak mempunyai masa untuk makan atau berbual kerana beban kerja yang mereka hadapi setiap hari dan ini menyebabkan ramai kehilangan tumpuan apabila giliran tamat.

"Setiap doktor perlu mempunyai sejarah penuh pesakit, kemudian melakukan diagnosis sebelum memberikan rawatan yang tepat.

"Sekiranya proses ini terganggu, doktor seterusnya perlu mengulangi semula keseluruhan proses, jadi anda tidak boleh berkata 'Saya akan rawat anda esok'."

Myelone berkata beliau menderita kekurangan tidur, punca sama yang hampir mengakibatkan nyawa sahabatnya dari Sarawak yang juga seorang doktor, Ganesh Palaniappan melayang.

Ganesh, yang bekerja di hospital kerajaan di Serian, Kuching, Sarawak, berkata beliau bekerja selama 18 jam atau lebih sebelum akhirnya dibenarkan pulang selepas merawat seorang pesakit.

"Ketika itu keadaan gelap, saya letih akibat masa bekerja yang panjang... saya mungkin pitam," katanya  selepas meninggalkan hospital dengan memandu kereta pada hari kejadian.

"Kami kekurangan doktor pakar di pusat penjagaan kesihatan kerajaan, itu sebabnya mengapa doktor terpaksa bekerja lebih masa," katanya.

Tidak ramai doktor lapangan

Walaupun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhasrat mempunyai nisbah doktor-pesakit 1:400 pada 2020, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia, Ravindran R. Naidu berkata negara masih jauh untuk mencapai Matlamat itu.

"Kita mempunyai ramai doktor pelatih, tetapi apa yang kita kurang adalah bilangan doktor perubatan dan hospital latihan.

"Pada masa ini kita mempunyai doktor untuk nisbah pesakit sekitar 1:600, jadi kita masih jauh untuk mencapai sasaran itu," katanya

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan sekurang-kurangnya 23 pekerja penjagaan kesihatan bagi setiap 10,000 penduduk. Ia secara kasarnya mempunyai nisbah kira-kira 1:435.

Ravindran juga menegaskan doktor yang berjaya menyempurnakan latihan masih belum dianggap doktor berkelayakan dan bilangan doktor perubatan berkelayakan masih rendah.

Menurut Fakta Kesihatan 2016, Malaysia kini mempunyai 46,491 doktor berkelayakan dengan nisbah pesakit 1:656.

Bilangan ini masih jauh daripada sasaran ditetapkan untuk 2020 iaitu 1:400 dan bermakna memerlukan 5,550 doktor tambahan setiap tahun dengan anggapan jumlah pesakit di Malaysia tidak meningkat.

Keadaan lebih buruk, pada September 2014, dilaporkan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) ingin mengurangkan akreditasi sekolah perubatan luar.

Bukan itu sahaja, MMC turut membekukan semua permohonan menubuhkan universiti perubatan swasta dan universiti perubatan sejak awal 2013.

Tiga tahun lalu, dilaporkan pada 6 April tahun ini graduan daripada sekolah perubatan di Indonesia, Rusia dan Mesir tidak berkemampuan untuk lulus latihan di Malaysia kerana tidak dilatih mengendalikan pesakit sebenar semasa tempoh pengajian di universiti seperti dilaporkan The New Straits Times.

Justeru, dengan kekurangan doktor di Malaysia, terdapat lebih ramai pesakit bagi setiap doktor berkelayakan yang menyebabkan mereka bebanan kerja.

Ravindran berkata tambahan kepada kekurangan hospital latihan, sistem yang dilaksanakan untuk melayakkan doktor dalam latihan boleh menjadi masalah, ia mungkin menjadi punca kekurangan doktor perubatan praktikal.

"Apabila seorang doktor layak, mereka akan diberikan pendaftaran sementara dengan MMC iaitu dua tahun pertama bagi tempoh latihan.

"Kemudian mereka diberi pendaftaran tetap dengan MMC apabila menjadi doktor perubatan tetapi anda masih tidak boleh meninggalkan perkhidmatan kerajaan kerana wajib berkhidmat selama dua tahun.

"Proses keseluruhan ini mungkin mengambil masa yang lama, dan doktor pelatih mungkin boleh berhenti," katanya.

Ravindran juga menjelaskan seorang doktor yang disahkan perlu sekurang-kurangnya melalui enam giliran di jabatan berlainan di hospital. Setiap giliran akan mengambil masa empat bulan.

"Ini sebabnya kami kekurangan doktor perubatan. Apabila terdapat kekurangan, doktor perlu bekerja lebih lama sehingga menyebabkan kurang tidur yang secara tidak langsung akan membahayakan nyawa doktor ini," katanya.

Pada 31 Mei 2017, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 554 kemalangan jalan raya melibatkan pekerja kesihatan Kementerian Kesihatan bagi tempoh 2014-2016. Seramai 69 orang terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tambahan waktu bekerja.

"Kadang-kala, kami boleh bekerja sehingga 36 jam. Jika anda ingin bercakap mengenai undang-undang buruh, ia tidak terpakai di sini kerana anda tidak boleh menyelamatkan nyawa seseorang separuh jalan dan menangguhkannya," kata Ravindran.

Tiada ulasan: