HALAMAN SANTAI

Sabtu, 8 Julai 2017

E-Kad percuma, namun pekerja asing bayar ribuan ringgit


LAPORAN KHAS | Yudi (bukan nama sebenar) merupakan seorang pekerja binaan Indonesia yang baru-baru ini diambil bekerja semula secara sah menggunakan Sistem Kad Penguatkuasaan Jabatan Imigresen (E-Kad).

Perkhidmatan itu sepatutnya disediakan secara percuma oleh kerajaan, namun dia terpaksa menanggung bayaran ribuan ringgit melalui pihak ketiga yang tidak didedahkan, yang mendakwa sebagai ejen.

Bayaran tersebut dikatakan termasuk untuk pelbagai yuran bagi mendapatkan permit kerjanya yang baru, kata Yudi, yang sudah 10 tahun berada di Malaysia.

Dibayar gaji harian sebanyak RM55, Yudi berkata dia membayar RM1,500 untuk mendapatkan E-Kadnya.

"Secara keseluruhan, saya telah membelanjakan RM3,000," kata Yudi, yang juga mempunyai isteri dan anak lelaki di Malaysia. Menurutnya, dia tidak pasti sama ada akan ada bayaran lain yang perlu dibuat.

Malaysiakini, bersama dengan NGO Migrant Care, bertemu dengan Yudi berhampiran tempat kerjanya pada hari Rabu.

Seperti kebanyakan rakan senegaranya, Yudi pertama kali datang ke Malaysia dengan pasport dan permit kerja yang sah, dan bekerja sebagai buruh di ladang kelapa sawit di Ipoh.

"Tetapi bos saya meninggal dunia. Tidak lama selepas itu, saya melarikan diri dan bekerja (secara haram) di beberapa ladang lain sebelum datang ke sini," katanya.

Ketika berada di sekitar Kuala Selangor beberapa tahun yang lalu, Yudi berkata dia ditahan semasa serbuan dan kemudian dibebaskan selepas majikannya yang kedua dikatakan membayar RM1,500 kepada pihak berkuasa.

"Mereka bertanya sama ada saya mahu (dihantar) pulang atau sama ada saya mahu tinggal dan bekerja di Malaysia? Pada masa itu, saya masih mempunyai bos.

"Saya memanggil bos saya dan dia datang untuk membayar kepada mereka, dan saya dibebaskan," kata Yudi.

Mengenai majikannya sekarang, Yudi berkata semua pekerja hanya diberi amaran tentang serbuan yang sedang berlaku, selepas tarikh akhir 30 Jun yang ditetapkan untuk majikan memohon E-Kad bagi pekerja mereka yang tidak mempunyai dokumen.

"Jika kami tidak bekerja, kami tidak akan dibayar," keluhnya.

"Saya mungkin selamat, tetapi bagaimana pula dengan isteri dan anak saya?" tanya Yudi, sambil menambah dia tidak mempunyai pilihan selain bersama mereka semasa bersembunyi.

Isterinya dan anak lelakinya, bersama dengan kumpulan yang dipercayai seramai 100 lagi, bersembunyi di hutan sekitar beberapa projek di sebuah negeri yang terletak kira-kira 60km di negeri dari Kuala Lumpur.

'Peluang untuk 'ejen'

Hanya pendatang yang tidak mempunyai dokumen yang bekerja di lima sektor yang diiktiraf, dibenarkan memohon E-Kad - satu dokumen sementara yang dikeluarkan ketika menunggu kelulusan permit kerja baru mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan untuk melanjutkan kemudahan ini kepada tanggungan mereka di sini.

Jabatan Imigresen sejak tengah malam 30 Jun, melancarkan serbuan ke atas pendatang tanpa izin dan melaporkan bahawa lebih 2,000 pekerja dan 44 majikan telah ditangkap, sehingga 6 Julai.

Selepas dikeluarkan E-Kad, majikan dan pekerja mempunyai sehingga 15 Februari tahun depan untuk menyelesaikan proses pengambilan semula melalui vendor swasta yang dilantik.

Pada akhir tarikh 30 Jun, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafar Ali berkata, hanya 155,680 pendatang tanpa izin yang bekerja untuk 26,957 majikan, telah memohon E-Kad dan 140,746 kad itu telah dikeluarkan.

Ini merupakan hanya 23 peratus daripada 600,000 kad itu yang disasarkan oleh Jabatan Imigresen, kata Mustafar.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata angka yang rendah itu mungkin disebabkan kurangnya kesedaran tentang prosedur yang terlibat dalam program pengambilan semula.

Ini mengakibatkan kurang keyakinan terhadap keseluruhan proses dan memberi peluang kepada ejen yang dikatakan itu, katanya.

"E-Kad sepatutnya percuma. Tetapi apa yang berlaku ialah terdapat banyak ejen yang mendatangi pekerja asing dan juga majikan.

"Majikan sepatutnya membawa semua pekerja mereka ke Jabatan Imigresen tetapi ada yang merasakan prosedurnya tidak jelas dan mereka menjadi mangsa kepada ejen-ejen itu," kata Shamsuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau berkata MEF tidak tahu sama ada sebarang E-Kad telah dikeluarkan hasil pembayaran yang dibuat kepada agen yang dikatakan itu.

"Di peringkat (permohonan) E-Kad, tidak ada pembayaran yang harus dibuat," katanya.

Hanya kemudian, katanya, dalam proses mendapatkan permit kerja untuk pengambilan semula itu, bayaran kompaun kerana tinggal melebihi masa, levi dan lain-lain yang mesti dibayar," kata Shamsuddin.

Khususnya, kata Shamsuddin, majikan perlu membayar sekurang-kurangnya RM1,200 sebagai caj pendaftaran dan pentadbiran bagi setiap pekerja. [Baca berita penuh/asal]
Bhg 1: Keluarga migran bersembunyi di hutan selepas serbuan E-Kad

Tiada ulasan: