HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Exco agama Pulau Pinang enggan ulas PAS mahu hantar memo kepada YDPA

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Exco Agama Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim enggan mengulas bersabit tindakan PAS yang mahu mengemukakan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bagi membantah campur tangan kerajaan negeri pimpinan DAP dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu. 
 
Abdul Malik sebaliknya berkata, adalah menjadi hak PAS negeri atau mana-mana pihak untuk berbuat demikian selagi mana ia berada di dalam ruang lingkup undang-undang.  
 
"Anda mahu komen apa, kerana kita sudah beritahu bahawa tidak ada campur tangan (dalam pemfatwaan), jadi kalau mereka nak hantar, saya tak boleh komen apa.
 
"Dalam negara demokrasi, semua berhak membuat apa yang tertakluk dalam ruang lingkup undang-undang, saya tak perlu komen apa-apa, saya tak mahu komen apa-apa," katanya kepada Antarapos.
 
Malah tegas ADUN Batu Maung itu, tiada keperluan untuk kerajaan negeri memohon maaf dan menarik balik pekeliling berkaitan urusan pemfatwaan di negeri itu kerana 'tiada isu berbangkit'.   
 
"Perkara ini tak berbangkit, kita sudah jawab (dalam DUN) bahawa tidak ada campur tangan, dan selain dari itu, urusan pemfatwaan adalah urusan pentadbiran," tegas beliau. 
 
Ahad lalu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof berkata, pihaknya akan mengemukakan memorandum kepada YDPA bagi membantah campur tangan kerajaan negeri dalam proses pewartaan fatwa di negeri itu.
 
Ujar Muhammad Fauzi, pihaknya konsisten meminta kerajaan negeri menarik balik pekeliling yang menyatakan bahawa keputusan mewartakan sesuatu fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri perlu dirujuk kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum dipersembahkan kepada YDPA.
 
Pada 10 Februari lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, pekeliling itu bercanggah  dengan Seksyen 48 Enakmen  Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004 pecahan (3) dan (4).
 
Menurut Zainal Abidin, enakmen berkenaan tidak menyebut fatwa yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang perlu dibawa untuk makluman atau  perkenan MMK Negeri Pulau Pinang yang dipengerusikan oleh Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri sebelum dipersembahkan kepada YDPA untuk mendapatkan perkenan.
 
PAS Pulau Pinang sebelum ini turut membuat laporan polis mendesak kerajaan negeri pimpinan DAP berhenti mencampuri urusan Jawatankuasa Fatwa Negeri, termasuk membenarkan empat fatwa yang dikatakan tertangguh diwartakan segera.
 
 

Tiada ulasan: