HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Ezam keluar parti buat kali kelima

MALAYSIAKINI


Bekas orang kuat PKR, Datuk Ezam Mohd Nor, meninggalkan Parti Generasi Baru ekoran kelewatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan pertukaran nama pertubuhan itu menjadi Parti Bebas Rasuah.

Ia adalah kali kelima untuk Ezam meninggalkan sesebuah parti politik sejak 1998.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Ezam turut memetik alasan bahawa ROS belum menunjukkan sebarang petanda positif terhadap permohonan pertukaran nama berkenaan.

"Pada 1 Jun lalu, setelah genap dua bulan menunggu kelulusan pertukaran nama dan perlembagaan Parti Generasi Baru kepada Parti Bebas Rasuah saya memaklumkan kepada Setiausaha Agung Parti Generasi Baru untuk tidak melanjutkan cita-cita ini kerana ROS belum memberi sebarang indikasi positif terhadap permohonan penukaran tersebut.

"Mungkin kerajaan hari ini belum selesa dengan penubuhan sebuah parti khusus melawan rasuah yang wujud dan beroperasi di negara ini," katanya yang sebelum ini menjadi presiden penaja parti berkenaan.

Ezam adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar yang pernah menjadi antara watak penting dalam kempen reformasi yang berlaku pada 1998.

Beliau pernah menyertai semula Umno dan meninggalkan parti itu keluar sekali dan memohon menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Sebelum menyertai BERSATU Ezam dilantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan.

Kata Ezam penubuhan Parti Bebas Rasuah mungkin menjadi kenyataan selepas "kerajaan kleptokrasi" ditumbangkan selepas ini.

Sementara itu, katanya, beliau akan terus berjuang dengan memberikan tumpuan khusus melawan rasuah melalui pertubuhan bukan kerajaan dikenali sebagai Hisbah.

"Hisbah adalah sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah di Malaysia sejak 2015 dan di Indonesia sejak 2013," katanya.

Menurut Ezam Hisbah Malaysia sedang dalam draf akhir menerbitkan buku Islam dan Rasuah dengan tumpuan khusus kepada persoalan kleptokrasi dan rasuah.

"Bab khusus mengupas isu skandal 1MDB akan diutarakan dalam buku edisi baru ini.

"Hisbah berasa bertanggungjawab menjelaskan prinsip Islam melalui perintah al-Quran dan teladan Rasulullah yang mengharamkan dan mengutuk keras perbuatan mencuri wang negara atau kleptokrasi ini," katanya.


Tiada ulasan: