HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Julai 2017

Felda sokong FGV ambil pekerja ladang Bangladesh

MALAYSIAKINI


Felda menyokong cadangan Felda Global Ventures Bhd (FGV) untuk mengambil 7,000 hingga 8,000 pekerja asing warga Bangladesh bagi mengatasi masalah kerugian RM2 juta setiap hari susulan kekurangan pekerja mengumpul hasil sawit.

Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad hari ini berkata Felda sebagai pemegang saham dalam FGV menyokong pengurusan FGV untuk menambah baik, meningkatkan kecekapan dan keuntungan FGV.
"Eksport komoditi memberi kesan kepada golongan yang terlibat secara langsung dalam industri seperti pekebun kecil dan syarikat ladang.

“Sektor komoditi ialah sesuatu yang penting bagi rakyat apatah lagi peneroka yang terlibat dalam industri sawit," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemangku Pengerusi FGV Tan Sri Sulaiman Mahbob baru-baru ini bahawa operasi besar-besaran pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan Felda kerugian RM2 juta setiap hari kerana kekurangan pekerja mengumpul hasil kelapa sawit.

Sulaiman dilaporkan berkata cadangan pengambilan pekerja Bangladesh itu adalah kerana berbanding negara lain, Bangladesh mampu membekalkan lebih ramai pekerja dan proses dokumentasi lebih mudah.

Shahrir yang ditemui selepas majlis Salam Perantauan Warga Felda 2017 di Putrajaya turut ditanya mengenai individu yang hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung siasatan ke atas Felda Investment Corporation (FIC), berkata perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada SPRM.

SPRM dalam satu kenyataan baru-baru ini menyatakan beberapa individu akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel bernilai RM330 juta di Kensington oleh FIC pada 2014.

Kenyataan itu menjelaskan individu-individu berkenaan merupakan saksi penting bagi membantu siasatan mengenai proses pembelian hotel tersebut antara 2013 hingga 2015.- Bernama

LIHAT VIDEO DI SINI

 

Tiada ulasan: