HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Julai 2017

Hadkan jawatan perdana menteri langkah terbaik tangani korupsi


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Pengumuman Pakatan Harapan (HARAPAN) semalam tidak hanya hadir dengan struktur kepimpinan yang mapan dan logo yang segar, malah menawarkan matlamat atau cadangan yang menarik untuk disingkap.

Bagi Ahli Jawatankuasa DAP Selangor, Edry Faizal Yusof, cadangan bersifat radikal HARAPAN untuk menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri kepada dua penggal menunjukkan kesungguhan politik gabungan pembangkang itu.

“Saya melihat ada tiga sebab utama mengapa cadangan ini bagus.

“Pertama, meskipun tidak menafikan sekiranya seorang perdana menteri itu bagus, sudah tentu warga Malaysia mengharapkan kepimpinan yang sama untuk tempoh masa yang panjang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Najib Razak sebagai contoh, katanya, jika dibiarkan terus memerintah akan membawa padah yang buruk, apatah lagi perdana menteri itu kini terpalit dengan skandal 1MDB yang membawa gelaran kleptokrasi kepada negara.

Malah, katanya yang juga Ahli Majlis Perbandaran Selayang, cadangan itu juga bakal memberi peluang kepada lebih ramai lagi kepimpinan baru dan orang muda untuk menentukan corak pemerintahan negara.

“Berbanding Barisan Nasional (BN) yang hanya mahu Najib Razak untuk mereka tabalkan sebagai perdana menteri, HARAPAN mempunyai ramai calon-calon yang jauh lebih baik, berpengalaman dan bersiap sedia memimpin Malaysia menuju masa depan yang lebih baik.

“Dengan had tempoh pada jawatan perdana menteri, warga Malaysia berpeluang menikmati kepimpinan baik yang lebih pelbagai,” ujarnya.

Selain itu, kata Edry, cadangan menghadkan tempoh jawatan perdana menteri katanya dilihat mampu menutup ruang terhadap salah laku seperti salah guna kuasa, rasuah dan kronisme yang menjadi amalan UMNO-BN sejak sekian lama.

“Sekiranya negara yang sihat perlukan penggiliran dan bertukar-tukar pemerintahan. Tentu manfaat yang sama juga boleh diperolehi sekiranya tempoh jawatan perdana menteri dihadkan dan berlakunya penggiliran perdana menteri yang lebih kerap,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: