HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Julai 2017

Harga rumah di kampung meningkat dua kali ganda

SINAR ONLINE

rumah
 

INI adalah siri kedua isu taman perumahan  yang seperti cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan kampung-kampung tradisi di daerah Jempol.  Siri kali ini mengupas isu harga rumah yang meningkat hampir dua kali ganda yang menjadi beban kepada pembeli terutama golongan belia.

BAHAU - Walaupun tidak jauh beza suasana di kampung lain dengan kawasan kampung sepanjang jalan Batu Kikir-Bahau tetapi kerana lokasinya yang strategik menyebabkan pembangunan terutama taman-taman perumahan baharu banyak di sini.

Kedudukannya yang menjadi laluan utama dan dekat  dengan pekan Batu Kikir dan bandar Bahau mungkin antara sebab pemaju memilih kawasan kampung di sini.

Rata-rata  yang membeli rumah dan tinggal  di taman-taman perumahan yang ada  pula bukan anak penduduk kampung  tetapi ramai  dari daerah dan negeri lain yang sudah bermastautin di Jempol.

Pembinaan taman baharu giat dijalankan

 

Satu daripada projek taman perumahan baharu yang penulis lihat,  bersebelahan simpang masuk ke Kampung Gajah Mati. Projek rumah teres setingkat itu masih  dalam  pembinaan  terletak di tepi jalan  utama betul-betul menghadap sawah padi di sebelah kanan jalan.
Di atas tanah seluas dua ekar itu  dahulunya ia sebuah rumah kampung dengan halaman yang agak luas tetapi  dirobohkan sebelum projek itu bermula.

Jenis rumah yang dibina di sepanjang jalan Batu Kikir- Bahau  kebanyakannya adalah jenis semi D dan rumah teres setingkat dengan saiz tanah yang dibangunkan kurang daripada lima ekar.

Jumlah unit rumahnya pula tidak banyak  sekitar 20 hingga 30 buah rumah sahaja.

Hanya satu sahaja projek perumahan baharu di Kampung Bukit Kelulut jenis Semi D dua tingkat. Rumah bercirikan rekabentuk moden itu  sudah hampir siap sepenuhnya.

Jika dari pekan Batu Kikir,  hampir kesemua  taman perumahan yang dibina terletak di sebelah kiri jalan.  Di sebelah kanan jalan yang merupakan kawasan sawah padi bermula dari Kampung Bukit Perah  hingga ke Kampung Kuala Sialang, tidak dibenarkan membina sebarang projek perumahan bagi memastikan ia kekal sebagai kawasan pertanian.

Isu harga rumah mahal

 

Isu harga rumah  mahal di Jempol terutama di Bahau sudah lama  kedengaran dan menjadi buah mulut  ramai orang terutama penduduk di sini. Harganya meningkat berlipat kali ganda  sejak lima  tahun kebelakangan ini hingga ada yang berkata harga rumah di Bahau sudah setaraf dengan Seremban.

Kekurangan tanah di  Bahau antara penyebab harga rumah  semakin meningkat kerana nilai tanah yang semakin tinggi.

Ini menyebabkan pembangunan kawasan kediaman dibina di luar dari  bandar Bahau terutama di kampung-kampung berhampiran seperti di jalan Batu Kikir-Bahau dan jalan Juaseh-Bahau.

Selain itu diwujudkan juga bandar baharu di Mahsan yang dikenali dengan Bandar IOI  yang jaraknya kira-kira lima kilometer  dari  Bahau bagi menampung kepadatan yang berlaku sekarang.

Pembangunan pesat ini juga  menyebabkan harga perumahan baharu di kawasan kampung  turut meningkat.

Mengambil contoh projek perumahan Taman Saga di Kampung Bukit Laka yang terawal dibuka sekitar tahun 2007. Harga rumah jenis semi D berkeluasaan 2000 kaki persegi  itu dijual  sekitar RM150,000 ketika itu.  Bagaimanapun fasa baharu Taman Kepayang yang berdekatan dengan Taman Saga yang dibina pada 2015  dengan saiz dan jenis yang sama dijual pada harga  RM350,000 hingga RM380,000 seunit.

Sementara untuk rumah teres setingkat berkeluasan 22X60 dijual pada harga  sekitar RM250,000 dan ke atas.

Malah ada taman perumahan di kawasan kampung yang dijual pada harga mencecah RM500,000 seunit, menurut Ketua Kampung Bukit Laka, Abu Zarin Bahali.

"Bagi orang kampung sudah tentu harga ini terlalu mahal. Mana mereka mampu buat pinjaman  kecuali ada pekerjaan tetap dengan gaji yang tinggi.

"Sebab itu kebanyakan mereka yang beli di empat-empat buah taman di kampung saya ini, mereka yang bekerja kerajaan terutama cikgu-cikgu sekolah yang mengajar di sekitar Jempol,” katanya.

Antara punca peningkatan harga rumah di tanah kampung yang  hampir menyamai di kawasan bandar disebabkan harga tanah yang semakin mahal ditambah dengan permintaan yang sentiasa ada.

Ketika awal-awal projek pembinaan taman perumahan di kampung, tanah yang dijual  penduduk kampung kepada pemaju sekitar RM50,000 bagi setiap ekar. Tetapi sekarang sudah mencecah RM300,000 bagi setiap ekar tanah, katanya.

Sebagai pemilik tanah sudah tentu mereka ingin menjual tanah pada harga  setinggi yang boleh, terutama setelah melihat pertambahan taman-taman yang wujud di kawasan kampung yang menunjukkan ada permintaan bagi rumah-rumah yang baharu dibina.

Jika harga tanah sudah mahal, rumah yang dibina sudah tentu berganda-ganda harganya, katanya.

Belia terhimpit dengan harga rumah mahal

 

Mereka yang paling terkesan dengan peningkatan harga rumah di kawasan Jempol adalah golongan belia terutama yang berumahtangga.

Walaupun kebanyakan  belia Jempol terpaksa ke bandar untuk bekerja  terutama di Seremban, Kuala Lumpur dan Melaka yang berdekatan namun masih ramai belia yang memilih tinggal dan mencari rezeki  di kampung.

Mereka kebanyakannya bekerja sendiri dan hanya sebahagian kecil yang makan gaji serta bekerja kerajaan.

Walaupun Jempol  pesat membangun tetapi peluang pekerjaan untuk anak luar bandar sangat terbatas kerana tidak ada kilang-kilang besar yang melabur di sini melainkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), menurut  Timbalan Presiden Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) Negeri Sembilan, Mohd Hezri Mat Isa.

“Ini yang merisaukan kerana pendapatan belia tidak selari dengan peningkatan kos hidup sekarang apatah lagi untuk mempunyai rumah sendiri dengan harga rumah yang sangat tinggi di Jempol,” katanya yang ditemui Bernama baru-baru ini.

Katanya, untuk membeli rumah di taman-taman yang ada di  kampung, belia  tidak mampu apatah lagi ingin membeli rumah di  bandar Bahau.

Mengambil contoh projek perumahan baharu di Mahsan.  Rumah teres dua tingkat yang dibina di kawasan itu sudah mencecah harga RM400,000  seunit dan rumah teres setingkat hampir  RM300,000, katanya.

"Memang ada kerajaan negeri tetapkan rumah untuk golongan berpendapatan rendah  dalam satu-satu projek besar seperti Bandar IOI tetapi jumlah itu terhad sedangkan yang memohon ramai," katanya.

Katanya harga rumah yang melonjak di Jempol menjadi satu beban yang perlu ditangani segera.

Sejak empat tahun lepas  isu ini telah dibangkitkan di peringkat persatuan dan disuarakan ke peringkat kepimpinan negeri yang  lebih tinggi.

“Belia di kampung-kampung mahukan bantuan seperti rakan-rakan kita di Felda yang mempunyai perumahan generasi ke-2.

“Sekiran tidak adapun perumahan untuk generasi kedua di kampung, sekurang-kurangnya  permudahkan insentif seperti rumah mesra rakyat atau rumah generasi kedua di bawah RISDA melalui skim  Rumah Bina Negara (RBN),” katanya.

Katanya, kebanyakan belia di kampung sudah mempunyai tanah yang boleh dibina  rumah seperti rumah mesra. Tetapi kerana  terlalu banyak senarai yang memohon selain tidak ada pengkhususan dan kumpulan sasaran menyebabkan ia tidak sampai kepada golongan yang memerlukan terutama belia.

Kenaikan harga rumah tidak dapat dielakkan


Bagi  pemaju perumahan pula, peningkatan harga rumah termasuk di taman-taman perumahan di kawasan kampung di Jempol tidak dapat dielakkan.

 Pemaju  Bonus Timur Sdn Bhd, Too Bee Peng berkata  lima tahun lepas memang harga  rumah di daerah Jempol lebih mahal berbanding daerah lain di Negeri Sembilan.

Tetapi sekarang harga rumah di semua daerah hampir sama  disebabkan  kos pembinaan dan  harga tanah  yang meningkat, katanya.

Syarikatnya yang  fokus memajukan  taman-taman perumahan di kawasan kampung terutama di sepanjang jalan Batu Kikir-Bahau berkata harga tanah meningkat hampir empat kali ganda berbanding ketika awal memulakan projek taman  perumahan di kampung.

“Pemilik  tanah tahu tanah kampung  ada nilai  yang tinggi apabila makin banyak perumahan dibina. Jadi mereka datang kepada kita tawarkan harga tanah  pada harga yang mahal antara RM200,000 hingga RM300,000 untuk setiap satu ekar. Sedangkan kalau dinilai harga tanah itu tidak setinggi itu.

“Selain itu banyak aspek yang perlu dipenuhi seperti yang ditetapkan PBT antaranya  sistem perparitan yang khusus untuk satu-satu taman, pembuangan sisa, sampah, lanskap taman. Semuanya menyebabkan kos bertambah dan pemaju terpaksa caj semua itu kepada pembeli dan itu yang menyebabkan rumah lebih mahal sekarang,” katanya.

Pada tahun 2007 ketika memulakan projek taman perumahan di kampung, harga jualan bagi satu unit rumah semi-D hanya RM150,000 tetapi sekarang sudah naik hampir dua kali ganda sekitar RM340,000 dan ke atas.

Nasib baik ekonomi sekarang tidak berapa cantik, kalau tidak harga rumah akan lebih tinggi,  katanya.

Bagi memastikan setiap unit rumah yang dibina habis dijual, lokasi  yang dipilih di kawasan kampung sangat penting. Paling stategik kedudukannya  kira-kira 200 meter  dari jalan utama.

Beliau berkata jika dibandingkan  harga rumah di bandar Bahau dengan taman perumahan di kampung, harga rumah di kawasan kampung masih  lebih rendah  sekiranya melihat daripada keseluruhan aspek seperti keluasan rumah dan tanah.

“Semua projek kami adalah jenis rumah semi-D setingkat yang mana masih ada ruang tanah sekiranya pemilik ingin membuat penambahan. Rumah yang kami buat juga lebih tinggi  iaitu 13 kaki dengan kualiti yang sentiasa dijaga. Sebab itu kami masih bertahan sejak 10 tahun lepas,” katanya yang telah membina 15 taman perumahan di kampung-kampung sepanjang Batu Kikir-Bahau. - Bernama

Tiada ulasan: