HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Julai 2017

Husam lega namanya naik lagi untuk calon MB Kelantan

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Datuk Husam Musa mungkin lega apabila Penasihat DAP, Lim Kit Siang menamakan dirinya sebagai calon Menteri Besar Kelantan, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed.
 
Ujar Martadha, impian Husam menggapai kerusi nombor satu negeri itu musnah selepas bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggugurkannya daripada senarai Exco, tanpa alasan yang diketahui umum.
  
Walhal ketika Husam memegang jawatan Exco Kelantan, namanya sering disebut sebagai pengganti Nik Aziz sebagai Menteri Besar.
 
"Mungkin kita lihat itu adalah satu perkara yang bagi saya mungkin menggembirakan beliau. Kerana sebelum ini kalau kita lihat pada era Tok Guru, ketika mana Tok Guru jadi Menteri Besar Kelantan. Sebelum beliau digugurkan menjadi Exco beliau sering kali disebut sebagai pengganti.
 
"Namun mungkin ada beberapa isu dan perkara yang diluar pengetahuan umum. Maka beliau telah digugurkan daripada jawatan Exco dan secara tidak langsung beliau tidak lagi menjadi sebagai calon untuk menggantikan Tok Guru Nik Aziz," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Martadha berkata demikian mengulas tindakan Kit Siang menamakan Husam sebagai Menteri Besar Kelantan ketika menghadiri jamuan Hari Raya Aidilfitri anjuran DAP di Kota Bharu, 30 Jun lalu.
 
Martadha kemudiannya berpendapat, pengumuman Kit Siang untuk menaikkan Husam, dibuat pada masa dan tempat yang salah berikutan krisis dalaman Pakatan Harapan (PH) sedia ada masih banyak yang belum selesaikan.
 
"Bagi saya ini satu tindakan yang tidak tepat dan tidak wajar oleh Kit Siang untuk menamakan Datuk Husam sebagai calon Menteri Besar apatah lagi kita melihat bahawa dalam pakatan sendiri kita lihat mereka belum bersatu hati terutamanya dalam meletakkan calon dalam PRU nanti. 
 
"Jadi bagi saya, mungkin menamakan ianya lebih menimbulkan konflik daripada memberikan satu harapan baru kepada mereka," tambahnya.
 
Timbalan Presiden Amanah, Sallehuddin Ayub bingkas memberitahu partinya tidak pernah membincangkan perihal jawatan Menteri Besar Kelantan, sejak ia ditubuhkan.
 
Husam pula dilaporkan menerima baik pencalonan Kit Siang dan mahu cadangan itu mendapat persetujuan semua parti komponen PH. 


Tiada ulasan: