HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Husam terus serang firma sekutu k'jaan Kelantan

MALAYSIAKINI


Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa hari ini meneruskan serangan ke atas firma yang memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan melibatkan satu juta ekar tanah hutan simpan.

Kali ini, Husam menyenaraikan beberapa perkara 'meragukan' mengenai firma tersebut sambil mencadangkan agar Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob membuat penjelasan mengenainya.

"Keraguan tentang kemampuan syarikat dan tujuan sebenarnya makin menebal apabila banyak tindakan syarikat yang mencurigakan seperti melanggar undang-undang berkaitan sehingga Bank Negara mengeluarkan kenyataan amaran.

"Dakwaan berada dalam mekanisma Bangsa-Bangsa Bersatu (UN REDD) adalah palsu, dakwaan mendapat Taman Negara bagi tujuan karbon kredit juga tidak benar selain melaksanakan aktiviti penjualan bit coin di bawah EcoBit tanpa persetujuan kerajaan dan melencong dari tujuan asal yang dinyatakan.

"Alamat pejabat syarikat yang dinyatakan adalah tidak wujud," kata Husam dalam kenyataan.
Ini semua, jelas beliau, menunjukkan sesuatu yang mencurigakan dengan niat serta integriti firma yang amat membimbangkan.

Semalam, Husam menggesa Bank Negara mengambil tindakan tegas terhadap syarikat berkenaan yang didakwanya beroperasi tanpa kelulusan bank pusat itu tetapi memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan.

Mengulas lanjut, Husam berkata, memandangkan isu itu serius dan membabitkan kepentingan orang ramai, beliau mencadangkan perjanjian berkenaan didedahkan sepenuhnya.

"Dalam tempoh enam bulan sejak perjanjian itu ditandatangani, apakah kemajuan kajian yang telah dibuat. Adalah agak mustahil, selepas dua tahun dihabiskan, syarikat ini akan ditamatkan begitu sahaja.

"Berdasarkan kenyataan syarikat dan ucapan kerajaan sebelum ini, tempoh dua tahun adalah untuk kajian stok penyerapan karbon dari hutan itu dan tiada dinyatakan perniagaan karbon dari hutan itu akan ditimbangkan kemudian.

"Dalam erti kata lain, ikatan antara kerajaan dan syarikat itu telah berlaku sejak dari tarikh perjanjian ditandatangani tanpa pemisahan antara dua tahun tempoh kajian dan pelaksanaan," jelasnya.

Oleh itu, Husam menzahirkan kebimbangan kerajaan negeri terikat tanpa exit clause dan firma itu boleh bertindak bebas.

Mengenai saranan Ahmad supaya mana-mana orang yang telah membuat bayaran pembelian bit coin EcoBit agar membuat laporan polis, Husam menambah, ia menunjukkan kerajaan negeri mengakui tindakan penjualan bit coin itu melanggar undang-undang.

"Kerajaan negeri sendiri pula cuba berlepas tangan dengan tidak membuat laporan polis berasingan kerana syarikat telah mempengaruhi orang ramai dengan mengiklankan sejuta hutan simpan yang diluluskan kerajaan Kelantan kepada mereka," ujarnya.

Hari ini, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan tidak pernah mengarahkan syarikat itu mengutip wang bagi melaksanakan projek dagangan karbon di negeri tersebut.

Jelas Ahmad, beliau menasihati mana-mana pihak yang telah membuat bayaran kepada syarikat tersebut supaya tampil membuat laporan kepada pihak berwajib.


Tiada ulasan: