HALAMAN SANTAI

Selasa, 18 Julai 2017

Inikah masanya malukan pesalah di khalayak ramai?

Golongan yang menyokong sebat tidak perlu risau keadaan ekonomi, mereka mempunyai gaji tetap, bukan seperti rakyat kebanyakan.
 
 
hudud-sebat

Baru-baru ini, seorang bapa membunuh diri dengan melompat daripada tingkat 4 bangunan flatnya.

Dia sempat melambai selamat tinggal kepada anak perempuannya. Dia mempunyai 7 orang anak dan isterinya hamil dengan anak ke-8.

Dia dikatakan mempunyai masalah kewangan dan bantuan Jabatan Kebajikan yang diterimanya sebanyak RM300 dihentikan. Beginilah nasib Melayu Islam di Malaysia.

Sementara itu, hangat dibincangkan di Kelantan mengenai hukuman sebat di khalayak ramai ke atas pesalah syariah. Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mendakwa ia sebahagian tuntutan Islam.

Mari kita fikirkan. PAS sudah memerintah Kelantan lebih 20 tahun. Kemenangan besar Barisan Nasional pada 2004 pun tidak dapat merampas negeri itu daripada mereka.

Dengan pengaruh yang begitu kuat, mengapa sekarang sahaja mereka menyatakan hasrat ini? Adakah kerana pilihan raya umum ke-14 sudah hampir dan mereka terpaksa mengalih pandangan rakyat daripada prestasi mereka yang semakin lemah?

Pada masa ini, banyak kecaman disasarkan kepada mereka. Mereka dibandingkan dengan Aceh yang mengamalkan hukuman ini. Ramai juga yang menyokong mereka kerana menganggap ia sebagai hukum Tuhan.

Sebelum ini, PAS mengusulkan pindaan meluaskan bidang kuasa mahkamah syariah, antaranya menambah bilangan sebatan daripada 6 kepada 100, di samping denda dinaikkan kepada RM100,000 dan hukuman penjara kepada 30 tahun!

Kita terkejut membaca angka-angka ini akan lebih terkejut bila mendapat tahu yang sebenarnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah terlebih dahulu mengusulkan yang hukuman ini tiada had langsung! Dengan kata lain, Perlembagaan Persekutuan dihumban keluar begitu sahaja.

Namun begitu, hasrat PAS tidak tercapai. Walaupun presiden Umno menyampaikan “salam” kepada PAS yang berhimpun di Kuala Lumpur demi mempertahankan pindaan Hadi, akhirnya Umno memutuskan tidak menyokong PAS.

Yang hairannya, Hadi tidak pulak mengkafirkan Umno, seperti yang dilakukannya di masa lampau. Mungkin daripada ini, kita dapat merumuskan keikhlasan PAS.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula cuba meredakan keadaan dengan mengatakan hanya orang Islam sahaja yang akan dikenakan hukuman ini. Bagaimana pula jika pasangan yang ditangkap berkhalwat di mana lelakinya Islam dan wanita bukan Islam? Adakah lelaki itu akan mendapat rotan atau penjara dan pasangannya terlepas begitu sahaja? Ini sama sekali tidak adil.

Yang susah ialah rakyat biasa

Negara kita akan menghadapi banyak masalah jika mengamalkan 2 sistem perundangan. Malah, dengan mahkamah syariah sekadar membicarakan hal kekeluargaan pun sudah banyak masalah timbul.

Misalnya, ibu bapa bukan Islam yang masuk Islam demi mendapat hak penjagaan anak mereka. Menurut logik pemimpin PAS seperti Nik Mohamad Abduh Nik Aziz, jika kita mengubah undang-undang ini, ia merampas hak umat Islam!

Kita juga perlu bertanya, apakah kajian yang dibuat PAS sebelum mencadangkan pindaan ini?

Adakah mereka membuat sebarang analisa untuk mendapat tahu sama ada menjalankan hukuman sebat di khalayak ramai itu benar-benar membuatkan pesalah insaf?

Di manakah hasil kajian mereka jika ada? Sama juga dengan pindaan RUU 355 dulu. Pindaan yang mereka minta adalah tidak kurang daripada 10 kali daripada hukuman yang asal (kalau denda, sampai 20 kali lebih banyak!)

Dari mana mereka mendapat perkiraan itu? Ataupun main teka sahaja?

Keadaan ekonomi kini semakin sempit. Syarikat asing sudah mula menutup kilang mereka dan beribu-ribu orang hilang pekerjaan. Pada masa sama, harga barang keperluan kian meningkat. Keadaan begini akan menaikkan tekanan sosial kepada semua lapisan rakyat.

Inikah masanya memalukan mereka di khalayak ramai?

Dua mufti memberi komen dalam hal ini. Mufti Pahang dan Selangor menyarankan rakyat bukan Islam masuk Islam dulu sebelum memberi komen mengenai undang-undang syariah kerana ini tidak melibatkan mereka!

Apakah mereka ini turut susah payah dalam kepincangan ekonomi? Tidak, mereka ada gaji tetap dan pencen. Bajet mereka pun tiada siapa yang berani soal. Yang akan susah ialah rakyat biasa.

Baru-baru ini kecoh di media sosial mengenai sepasang suami isteri tua yang ditangkap dan dipukul kerana mencuri wang tabung masjid. Mereka berbuat begitu kerana terdesak.

Siasah Melayu pula sudah lama terbelit dengan dakyah politik hukum hudud. Hukuman yang dicadangkan tiada kena mengena dengan Islam tetapi hanya menyusahkan bangsa Melayu Islam.

Cukuplah buang masa dengan hukuman seperti ini. Kita perlu fokus kepada pembaikan diri dan masyarakat. Masyarakat perlukan banyak ihsan

Tiada ulasan: