HALAMAN SANTAI

Isnin, 3 Julai 2017

Isteri dikahwini 3 bulan maut dalam kebakaran

"Saya boleh dengar jeritan kuat suara mangsa meminta tolong ketika bercakap dengan suaminya di telefon beberapa minit sebelum api terus marak, ”kata saksi yang menyaksikan kebakaran sebuah rumah di Jalan Kepong, Pengadang Baru di Kuala Terengganu, lewat petang tadi

Yusri Abdul Rahman, yang merupakan jiran mangsa berkata hatinya menjadi semakin hiba apabila melihat suami mangsa cuba menghulurkan tangga daripada luar rumah untuk menyelamatkan isterinya, Siti Nor Munirah Abu Bakar, 31 yang berada di tingkat atas rumah tersebut.

Beliau juga sempat melihat kelibat mangsa yang cuba keluar rumah dari tingkat atas, tetapi api terlalu cepat merebak dan akhirnya suara dan diri mangsa lenyap di sebalik kepulan asap.

"Api terlalu marak, kami yang sampai awal ke lokasi daripada bomba tidak sempat berbuat apa-apa. Dalam tempoh cuba membantu apa yang patut dan situasi kelam kabut itu, saya dapat lihat Abdul Mukkin Ahmad (suami mangsa) mencari pelbagai idea untuk menyelamatkan isterinya namun sia-sia.

"Rumah mangsa dipenuhi jeriji keselamatan besi. Ketika mula-mula kejadian itu dimaklumkan suaminya berada di bengkel membaiki kusyen di sebelah rumah tersebut,” katanya yang ditemui Bernama di Kuala Terengganu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, api yang marak telah mengorbankan Siti Nor Munirah yang menaiki jenjang pelamin bersama Abdul Mukkin, 35, pada Mac lepas.

Selain itu, ibu mertua mangsa, Minah Endut, 62 berkata menantunya itu baru sahaja empat hari tinggal di rumah berkenaan selepas selesai majlis sambut menantu Rabu lalu dan dia menerima berita kebakaran tersebut ketika berada di sebuah pasar raya menerusi panggilan telefon oleh salah seorang anaknya.

"Ketika itu saya keluar ke bandar bersama anak untuk mencari barang dan hanya menantu dan seorang lagi anak lelaki saya sedang tidur di tingkat bawah manakala suami mangsa berada di bengkel berhampiran rumah.

Saya terus bergegas balik dan mencari kelibat mangsa namun tidak menemuinya di sekitar kediaman kami. Anak yang tidur di tingkat bawah berjaya menyelamatkan diri" katanya dengan nada sedih.

Minah mempunyai 13 anak dan insiden tersebut turut menyebabkan tujuh sekeluarga yang tinggal bersama di situ tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu,Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Sharikan Bustaman berkata kebakaran itu telah mengakibatkan rumah dua tingkat berkenaan musnah 100 peratus.

Katanya mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 6 petang tadi di tingkat bawah dipercayai terjatuh selepas bahagian atas yang diperbuat daripada kayu musnah.

"Kita menerima panggilan kira-kira pukul 4.33 petang sebelum tiga jentera dari Balai Kuala Terengganu dan Balai Jalan Kota dikejarkan ke lokasi kejadian. Ketika tiba rumah berkenaan ia telah musnah kira-kira 80 peratus namun kita berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kediaman bersebelahan," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran dan punca serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.-Bernama


Tiada ulasan: