HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

Isu Felda: Shahrir tidak banyak berbeza dari Isa

Berita Daily Staff

Keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini mendakwa prestasi Pengerusi Felda Shahrir Samad tidak banyak berbeza dari Mohd Isa Abdul Samad.

Menurutnya, risiko terbesar kepada kelangsungan Felda bukanlah rasuah yang melibatkan pegawai-pegawainya di bawah tetapi satu atau dua keputusan perniagaan besar yang membabitkan urusniaga sehingga berbilion ringgit kerana itu akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.

“Walaupun Shahrir nampak lebih terbuka setakat ini, beliau menutup mulut dan tidak memberi reaksi berkenaan urusniaga besar yang diketahui akan merugikan Felda.”

“Dalam bab ini, saya meletakkan prestasi Shahrir Samad sama sahaja dengan Isa Samad kerana beliau (Shahrir) yang mengetuai Felda ketika Felda membelanjakan sehingga RM2.2 bilion untuk membeli saham majoriti di dalam syarikat perladangan milik sahabat Najib Razak iaitu PT Eagle High Plantations,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, hampir sebulan lalu, beliau telah bertanyakan sendiri melalui satu kenyataan media kepada Shahrir Samad, mengenai laporan media di Indonesia bahawa Felda telah pun memuktamadkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations dalam bulan April 2017.

“Malah, menurut laporan itu lagi, Felda berhasrat untuk membeli lagi saham-saham dengan menawarkan harga belian kepada pemegang saham lain.”

Antara rumusan urusniaga yang dilaporkan di http://m.kontan.co.id/news/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayoritas-bwpt

i. Felda telah pun membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High

ii. Urusniaga itu dimuktamadkan dalam bulan April 2017 dengan Kumpulan Rajawali milik Peter Sondakh

iii. Anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd membayar sehingga USD 505.4 juta bersamaan sekitar RM2.12 bilion bagi saham-saham itu

iv. Felda dilaporkan akan membuat satu “tawaran umum” atau “general offer” bagi membeli saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya

Saya pernah mendedahkan kedudukan kewangan Felda setakat 2013 dan 2014 berpandukan penyata kewangan yang diaudit (kerana laporan kewangan Felda bagi 2015 dan 2016 belum lagi keluar walaupun kini sudah melepasi separuh tahun 2017):

i. Mukasurat 168: Pendapatan di peringkat Felda hanyalah RM87 juta setahun. Jika diambil kira pendapatan di peringkat kumpulan yang disatukan, pendapatan tahunan kumpulan Felda hanyalah RM420 juta setahun.

ii. Mukasurat 168: Rugi bersih Felda adalah RM1 bilion (2014) dan RM2.3 (2013)

iii. Mukasurat 185: Perbelanjaan kasar untuk melaksanakan rancangan tanam semula untuk peneroka ialah RM2.5 bilion (2014) dan RM2.4 bilion (2013)

iv. Mukasurat 187: Baki tunai yang ada di akaun Felda hanyalah RM291 juta (2014) dan RM685 juta (2015)

v. Mukasurat 271: Jumlah hutang Felda adalah RM6.1 bilion (2014) dan RM5.7 bilion (2013)
“Ini bermakna, sudah hampir pasti Felda telah mengambil hutang baru sebanyak RM2.12 bilion untuk membiayai pembelian saham-saham PT Eagle High itu kerana Felda tidak mempunyai sumber kewangan dalam yang mencukupi,” dakwa Rafizi sambil menambah keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan.

“Jangan dengan hanya mengalu-alukan siasatan ke atas ikan-ikan bilis di kalangan kakitangan Felda; itu dikira cukup untuk menutup peninggalan beliau yang sewajarnya diingati seperti mana rakyat mengingati peninggalan Isa Samad kepada Felda juga: kedua-dua mereka bertanggungjawab membiarkan Felda terjebak di dalam urusniaga berbilion ringgit yang menyebabkan hutang Felda mula membawa kesan kepada peneroka Felda,” tegas Rafizi lagi.

Tiada ulasan: