HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Isu kontrak tanah K'tan: AMANAH gesa Bank Negara bertindak

 

Bank Negara digesa mengambil tindakan tegas terhadap syarikat yang beroperasi tanpa kelulusan Bank Negara tetapi memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan melibatkan 1 juta ekar tanah hutan simpan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Datuk Husam Musa mempersoalkan kelayakan sebuah firma untuk menguruskan tanah tersebut walaupun tidak mendapat kelulusan BNM untuk beroperasi.

"Saya menyeru Bank Negara, janganlah sekadar mengeluarkan amaran tetapi tindakan proaktif terhadap semua skim seperti ini bagi mengelakkan orang awam tertipu. Mereka sudah melabur, kebanyakannya orang Melayu sejak zaman Pak Man Telo lagi.

“Hangus wang berpuluh bilion kerana tidak dipandu pelaburan betul dan mereka cari jalan mudah untuk dapat kekayaan dan pelbagai pihak mengambil kesempatan. Kerajaan negeri pun kadangkala terpedaya," katanya.

Husam berkata demikian pada sidang media di Wisma AMANAH di Kuala Lumpur, hari ini.

Husam berkata syarikat tersebut adalah salah satu dari empat syarikat yang dinamakan oleh Bank Negara menerusi satu senarai pemerhatian atau amaran kepada pengguna pada 23 Jun.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pada 26 Jun lalu tidak mengambil berat amaran Bank Negara itu dan turut mengumumkan projek perniagaan karbon bertaraf dunia diluluskan kepada firma tersebut.

Senarai syarikat dan laman sesawang berkenaan tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan berkaitan yang ditadbir oleh Bank Negara.

Firma itu memeterai perjanjian dengan kerajaan negeri Kelantan pada 9 Jan, 2017. Perjanjian itu meliputi tempoh 30 tahun.

Bagaimanapun, Husam berkata kerajaan negeri kini perlu tampil menyatakan tindakan seterusnya selepas Bank Negara mengeluarkan amaran itu.

“Selepas pendedahan ini, apa tindakan yang akan diambil oleh kerajaan Kelantan?,” soal Husam.

Bekas naib presiden PAS itu turut mempersoalkan mengapa Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob tidak mengambil berat kenyataan Bank Negara yang dikeluarkan tiga hari sebelum projek diumumkan.

"Rakyat berhak mengetahui sama ada langkah firma tersebut yang beralamat di Kota Bharu menggunakan kelulusan sejuta ekar tanah hutan simpan Kelantan itu dengan mengutip wang orang ramai dengan menjual token dipersetujui kerajaan negeri?

"Apakah syarikat mengutip wang secara haram menggunakan kelulusan kerajaan negeri," soal Husam yang juga bekas exco Kelantan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Bank Negara, kerajaan negeri dan syarikat terbabit berkaitan dakwaan itu

Tiada ulasan: