HALAMAN SANTAI

Ahad, 9 Julai 2017

Jangan ingkar arahan RoS, tegas Zahid kepada DAP

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: DAP perlu bersedia dengan kemungkinan calon mereka tidak dapat bertanding pada pilihan raya umum akan datang jika mereka berdegil untuk tidak mematuhi arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
 
Ahmad Zahid berkata, arahan RoS supaya DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) juga tidak ada kena mengena dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Kementerian Dalam Negeri (KDN).
 
“Saya meneliti reaksi DAP mengenai hal ini dan saya dapati mereka cenderung untuk ingkar arahan daripada RoS.
 
“RoS telah memberikan tempoh yang cukup kepada DAP untuk mengadakan pemilihan semula dan kerajaan tidak ada kena mengena dengan perkara ini,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Gombak di sini hari ini.
 
RoS pada Jumaat lalu mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan jawatankuasa CEC yang baru.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata pemilihan yang baru perlu memandangkan pelantikan yang dibuat pada 29 September 2013 tidak sah.
 
Perkara itu disarakan Ahmad Zahid, agar tindakan yang diambil RoS perlu selari dengan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP.
 
Mohammad Razin bertegas RoS hanya mengiktiraf senarai jawatankuasa DAP jika parti itu melakukan pemilihan yang baru.
 
Pemilihan DAP pada 15 Disember 2012 dianggap terbatal selepas berlaku kesilapan teknikal.
 
Parti itu kemudiannya mengadakan pemilihan semula pada 29 September 2013, namun ia mencetuskan kontroversi apabila perwakilan mendakwa berlaku kepincangan.
 
Mandat anggota CEC dan pemimpin yang lain berakhir sejak September tahun lalu namun perlembagaan parti itu membenarkan untuk pemilihan yang baru ditunda sehingga 18 bulan. 


Tiada ulasan: