HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Jangan tanggung hutang 1MDB 2 kali, kata PKR

MALAYSIAKINI


Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, usaha penyenaraian Edra Power Holdings Sdn Bhd (Edra) untuk menjana perolehan sehingga RM5 bilion dari pelabur di Bursa Malaysia adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian serius.

Ini kerana, jelas Rafizi, jika saham-saham terbitan Edra dilanggan pula oleh institusi pelaburan atau dana yang dimiliki rakyat Malaysia, ia sama seperti menanggung hutang 1MDB buat kali kedua.

"Pertama, hutang pusingan pertama diambil 1MDB dan diselewengkan manakala kedua, rakyat Malaysia memberikan wang kepada pemilik Edra iaitu China General Nuclear Power Corporation (CGNPC) untuk membayar kembali RM5 bilion yang telah dibayar olehnya kepada 1MDB," menurut beliau.

Rafizi yang juga naib presiden PKR berkata demikian dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, tambah Rafizi, pihaknya menyeru institusi pelaburan awam dan dana awam terutamanya KWSP, kumpulan TH, KWAP, PERKESO, PNB, Khazanah, MARA dan semua pelaburan lain untuk memboikot dan menjauhi penyenaraian saham Edra.

Ia bagi mengelakkan dana awam terjebak kali kedua di dalam skandal 1MDB, katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak wajarlah memastikan wang yang dibayar kepada 1MDB hasil penjualan aset penjanaan elektrik kepada CGNPC datang dari syarikat China itu, bukannya dibayar balik oleh rakyat Malaysia melalui penerbitan saham RM5 bilion ini, ujarnya lagi.

Edra adalah bekas anak syarikat 1MDB yang dijual kepada syarikat penjana bebas dan tenaga nuklear dari China, iaitu CGNPC yang kini menjadi penjana bebas kedua terbesar di negara ini.


Tiada ulasan: