HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

JASA guna hujah Hadi Awang bidas Tuan Ibrahim

MALAYSIAKINI



Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mengecam Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana mendakwa kegagalan negara untuk terus menyiasat skandal 1MDB membuka ruang kepada negara luar membuat siasatan di seluruh dunia.

“(Dakwaan) kegagalan penguatkuasa dalam negara membuka ruang kepada pihak luar membuat siasatan adalah sama sekali tidak benar.

“Sebaliknya ruang untuk pihak berkuasa asing ini dibuka oleh individu-individu yang membuat laporan dengan tujuan untuk memancing campur tangan pihak asing ini ke dalam konflik politik di dalam negara.

“Dan (hujah) ini disokong sendiri oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata Mohd Puad, yang mengetuai jabatan propaganda kerajaan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA)
Kenyataan Mohd Puad itu disebarkan secar meluas oleh JASA menerusi Whatsapp, hari ini.

Beliau juga membidas Tuan Ibrahim dan beberapa pemimpin pembangkang kerana menuntut kerajaan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal 1MDB selepas penubuhan RCI untuk skandal forex, yang berlaku sekitar 30 tahun lalu ketika Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri.

Mohd Puad berkata, penubuhan sebuah RCI bagi menyiasat 1MDB tidak diperlukan kerana kerajaan telah mengambil beberapa langkah.

“Pertama, (kerajaan berjaya) menstabilkan kedudukan kewangan syarikat dan menurunkan hutang 1MDB secara drastik melalui pelan rasionalisasi 1MDB.

“Kedua, kerajaan telah membuktikan melalui semakan dan siasatan Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang turut dianggotai ahli parlimen pembangkang, bahawa dakwaan wang 1MDB lesap, dicuri dan diselewengkan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Mohd Puad juga mengkritik Tuan Ibrahim berhubung kenyataannya bahawa laporan ketua audit negara mengenai 1MDB itu diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Beliau mendakwa laporan itu diklasifikasikan sebagai rahsia oleh ketua audit negara ketika itu.

“Namun dapatan semakan dan kesimpulan oleh Jabatan Audit Negara ada dimasukkan ke dalam laporan PAC sebagai rujukan.

“Sekiranya beliau rajin, beliau juga boleh membaca hansard prosiding PAC melibatkan pelbagai pihak termasuk juruaudit Deloitte, KPMG, ketua pegawai eksekutif dan ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melihat sendiri samada prosiding dilaksanakan secara telus atau tidak,” kata Mohd Puad .

Di sebalik, kenyataan Mohd Puad bahawa laporan PAC mendapati tidak ada wang yang dilaporkan dicuri atau hilang, hakikatnya, laporan berkenaan menyebut secara khusus bahawa Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan pembayaran sebanyak AS$2.173 bilion.

"Pihak Jabatan Audit Negara tidak dapat mengesahkan bayaran AS$S855 juta, AS$993 juta dan AS$295 juta adalah sebagai bayaran penamatan opsyen dan/atau top up security deposit kepada Aabar Ltd.

“Oleh kerana dokumen sokongan yang tidak lengkap dikemukakan oleh 1MDB kepada pihak Jabatan Audit Negara,” petik laporan itu.

Laporan PAC turut menyatakan bahawa AS$700 juta daripada pelaburan AS$1 bilion untuk pelaburan awal untuk usaha sama dengan Petro Saudi, telah dipindahkan ke Good Star Ltd.
Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azhar memberitahu PAC bahawa Good Star Ltd adalah anak syarikat PetroSaudi.

Laporan PAC turut menyatakan bahawa akaun di mana AS$700 juta dipindahkan "tidak terlibat dalam projek usahasama ini".

Siasatan dan prosiding mahkamah di Amerika Syarikat dan Singapura mendapati syarikat itu dimiliki oleh pengusaha kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Laporan PAC mengenai 1MDB boleh didapati di sini.

Puad Zarkashi dalam kenyataannya, juga membidas Tuan Ibrahim kerana mempersoalkan tindakan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang tidak membuat pendakwaan ke atas 1MDB walaupun Bank Negara mencadangkan demikian berhubung perjanjian dengan PetroSaudi itu.

Beliau berkata Mohamed Apandi dalam kenyataannya pada 13 Oktober 2015 dengan jelas menyatakan bahawa tidak ada pendakwaan kerana Bank Negara telah memberi kebenaran kepada 1MDB untuk menjalankan urus niaga berkenaan pada September 2009, September 2010 dan Mei 2011.

Tiada ulasan: