HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

'Kenyataan bercanggah menteri tunjuk Umno takut'


"Kenyataan bercanggah" oleh seorang menteri kanan Umno mengenai peranan DAP dalam pakatan Pakatan Harapan (HARAPAN) menunjukkan ketakutan semakin meningkat terhadap pakatan pembangkang itu.

Ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merujuk kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak, yang hari ini mempersoalkan ketiadaan pemimpin DAP dalam tiga kedudukan teratas barisan baru HARAPAN, seperti diumumkan semalam.

"Ia menunjukkan betapa takutnya mereka (Umno) apabila Salleh Keruak pada suatu ketika mengatakan kita (HARAPAN) dikuasai oleh DAP dan sekarang mengatakan kami ketepikan DAP," katanya semasa sidang akhbar di Ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya hari ini.

Dalam barisan yang diumumkan lewat tengah malam tadi, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai ketua umum HARAPAN, manakala pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad dipilih sebagai pengerusi.

Merujuk kepada barisan baru itu, Syed Saddiq menegaskan bahawa adalah jahil bagi mana-mana pemimpin Umno untuk terus mendakwa bahawa HARAPAN dikawal oleh DAP atau kaum Cina.

"Jika berkeras dakwa HARAPAN didominasi oleh DAP atau Cina, ini bermakna mereka memang benar-benar jahil," katanya menambah pakatan pembangkang kini lebih padu berbanding gabungan sebelum ini.

Tiada ulasan: