HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Julai 2017

Kes Mohamad Thaqif selesai, tiada penderaan: MTAJ

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ) hari ini, menganggap kes kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi selesai susulan laporan perubatan dikeluarkan Kementerian Kesihatan semalam. 
 
Pengetuanya, Mohammad Afdhaluddin Ismail, berkata berasaskan laporan itu ia mengesahkan tiada kes penderaan yang berlaku di MTAJ. 
 
Katanya, pengurusan MTAJ juga menegaskan pihaknya berpuas hati dengan kenyataan semua yang terbabit atas kerjasama yang diberikan selama siasatan kes berkenaan dijalankan. 
 
"Kami di MTAJ bersyukur kerana kes ini boleh dianggap selesai selepas kenyataan perubatan ini dikeluarkan dan menunjukkan kebenarannya. 
 
Pada masa sama kami menzahirkan kesedihan atas penyakit yang menimpa Allahyarham Mohamad Thaqif. 
 
"Ingin kami tegaskan bahawa semua jabatan yang terbabit dalam siasatan ini menjalankan tugas mereka dengan komited sekali," katanya. 
 
Beliau berkata demikian pada sidang media di bilik mesyuarat MTAJ dekat Kampung Lukut di sini, hari ini. 
 
Mohammad Afdhaluddin berkata, berasaskan laporan perubatan itu, ia mengesahkan tiada sama sekali kes penderaan yang berlaku di MTAJ. "Sebagaimana yang kami yakin dan jelaskan sebelum ini berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seluruh kawasan madrasah berada dalam pemantauan yang baik," katanya. 
 
Katanya, pihak MTAJ sentiasa terbuka dan akan memberi kerjasama jika ada sebarang siasatan lanjut berhubung dengan kes berkenaan. 
 
Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penyebab kematian Mohamad Thaqif adalah Leptospirosis (kencing tikus) dan dirumitkan dengan keadaan kulit nekrosis dan pembentukan bekuan darah mikro (microthrombi) di seluruh saluran darah yang mengakibatkan perubahan warna kulit dan seterusnya membabitkan kegagalan organ berfungsi.
 
Katanya, ia berdasarkan proses bedah siasat yang dijalankan pada hari yang sama pelajar itu meninggal dunia dengan beberapa sampel tisu dan darah diambil sebelum dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan juga ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisa. 
 
Mohamad Thaqif Amin dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) pada 19 April lalu selepas dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan dikatakan akibat dipukul pembantu warden madrasah tahfiz. 
 
Selepas kedua-dua kakinya dipotong pada 22 April lalu, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku dan dijadual dipotong dari jari hingga bawah siku. 
 
Bagaimanapun, pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilaporkan tidak stabil sebelum pelajar itu meninggal dunia pada 26 April lalu. 
 
Susulan kejadian itu pembantu warden pusat tahfiz terbabit ditahan untuk siasatan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
 
 

Tiada ulasan: