HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Khalid: Sarawak Report merepek


 

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengutuk Sarawak Report 'menggoreng' cerita tertentu untuk mencetuskan keraguan orang ramai terhadap polis.

Kata ketua polis negara tuduhan terbaru portal berkenaan berniat jahat.

Ketika ditanya media sama ada wujud kesangsian jika seorang suspek utama kes rasuah sering menghubungi pegawai kanan polis, Khalid menjelaskan ia tidak semestinya begitu.

"Komen-komen daripada Sarawak Report sengaja dibangkitkan untuk menimbulkan syak wasangka di kalangan masyarakat.

"Apa masalahnya ada perhubungan (komunikasi)? Ia bukan bermakna perhubungan telefon itu menjurus kepada melakukan apa-apa kesalahan," katanya kepada media di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Khalid mengulas dakwaan Sarawak Report bahawa seorang suspek utama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Gopinathan Krishnan, selalu berhubung dengan Ketua Pasukan Khas Antiperjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap Bukit Aman DCP Saiful Azly Kamaruddin.

Portal yang banyak membuat dakwaan dan pendedahan berkaitan kerajaan itu berkata Gopinathan menghubungi Saiful Azly 36 kali dalam tempoh dua bulan.

Tak ada sebab mengelak

Khalid berkata beliau sendiri dihubungi ramai orang setiap hari dengan ucapan biasa seperti selamat pagi atau bertanya khabar.

"Rasanya saya dapat ratusan panggilan setiap hari. Adakah itu menimbulkan syak wasangka?

"Kamu boleh periksa telefon saya dan buat analisis. Kalau kamu nak kata panggilan ini sesuatu yang mencurigakan, entahlah.

"Saya sudah cakap (mengenai hal ini) dan saya tak mahu layan lagi. Sarawak Report yang mengada-ngada buat cerita merepek," katanya.

Khalid juga berkata beliau sedia memberi kerjasama penuh jika SPRM mahu mengambil keterangan daripadanya.

"Sudah tentu boleh, mengapa tidak?" katanya.

Menurut Khalid, terserah kepada SPRM sama ada mahu menyiasatnya atau tidak.

Dalam Ops Gopi dijalankan SPRM baru-baru ini seramai12 orang suspek - kebanyakannya anggota polis - ditahan agensi antirasuah itu dalam sepanjang tempoh dua bulan.

Kata Sarawak Report Gopinathan memainkan peranan penting menguruskan perlindungan aktiviti perjudian dan pelacuran daripada tindakan polis di Melaka.

Khalid juga mengaku mengenali Gopinathan namun menegaskan lelaki terbabit mesti bertanggungjawab jika terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: