HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Julai 2017

Lapor SPRM jika Zuraida jadi orang tengah lupuskan hutang Yayasan Selangor

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa Inspirasi Melayu Gombak (IMPAK) segera melaporkan dakwaan yang melibatkan pemimpin PKR dan Yayasan Selangor kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) jika terbukti ia benar.
 
"Pendirian saya sejak asal sekiranya ada mana-mana pihak yang mendakwa atau membuat tuduhan dan mempunyai bukti, wajar bagi mereka mengemukakan kepada pihak berkuasa dan tidak perlu membuat tohmahan atau tuduhan yang tidak berasas.
 
"Kalau mereka yakin ada bukti dan kesalahan, kita ada pelbagai Jabatan dan Agensi yang boleh melaksanakan undang-undang bagi tujuan tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Hari Raya Aidilfitri Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin, di Bukit Damansara, petang tadi.
 
Azmin berkata demikian mengulas pendedahan IMPAK semalam bahawa Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh menjadi orang tengah kepada sebuah syarikat untuk melupuskan hutangnya bernilai RM233,833 dengan Yayasan Selangor.
 
Zuraida menerusi kenyataan medianya menafikan laporan itu dan enggan melayan tuduhan hanya sekadar melalui surat layang, seperti yang diberitahu Presiden IMPAK, Datuk Zul Azhari Mohamed Juah.
 
Azmin berkata masyarakat serta IMPAK perlu meneliti penjelasan Zuraida sebelum membuat apa-apa penilaian berhubung isu itu.
 
Dalam perkembangan lain, Azmin menolak pelawaan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar supaya bertanding di kawasannya iaitu Tanjong Karang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
 
Timbalan Presiden PKR itu sekali lagi menegaskan dirinya hanya berminat untuk bertanding di Pekan yang kini disandang oleh Datuk Seri Najib Razak.
 
"Lawan saya Najib. Siapalah Noh ini, cicak mengkarung sahaja. Saya nak lawan dengan Najib.
 
"Saya tidak ada niat untuk meninggalkan Gombak kerana ia kubu saya. Kalau ada pandangan untuk saya berhijrah ke kawasan lain untuk tujuan strategi, saya memilih Pekan," ujarnya sinis.
 
 

Tiada ulasan: