HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Lebih 15,000 kanak-kanak tiada kerakyatan di Malaysia


 Berita Daily Staff


Apakah rancangan kerajaan untuk membantu kanak-kanak ini?

KUALA LUMPUR: Terdapat 15, 394 orang kanak-kanak di Malaysia berstatus bukan warganegara. Apakah nasib kanak-kanak ini?

Demikian soal, seorang pemimpin pembangkang yang turut menegaskan bahawa kanak-kanak bukan warganegara ini perlu dibantu supaya mereka tidak menjadi beban kepada negara pada masa hadapan.

Menurut, V Sivakumar, ahli parlimen Batu Gajah pemberian status kewarganegaraan Malaysia kepada seseorang individu merupakan anugerah tertinggi dan hak ekslusif Kerajaan Persekutuan.

“Perkara ini terkandung dalam Bahagian lII Perlembagaan Persekutuan. Status kewarganegaraan tidak boleh diberikan dengan sewenang-wenangnya.”

“Undang-undang tertinggi itu memastikan keselamatan dan hak rakyat Malaysia terjamin. Tetapi, lebih 15,000 kanak-kanak ini tidak mempunyai masa hadapan yang cerah. Apakah rancangan kerajaan untuk membantu kanak-kanak ini? Mereka tidak mempunyai status kewarganegaraan di mana-mana negara lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Sivakumar, masalah ini berpunca daripada status kerakyatan ibubapa kanak-kanak tersebut.

Jelasnya, sepanjang tahun 2012 hingga 31 Januari 2017 seramai 180,515 orang kanak-kanak telah dilahirkan di negara ini yang mana salah satu daripada ibu atau bapa kanak-kanak tersebut adalah berstatus bukan warganegara Malaysia.

“Secara lebih spesifik, anak kepada ibu berstatus bukan warganegara Malaysia tetapi bapa warganegara Malaysia adalah seramai 122,966 orang. Manakala, anak kepada ibu berstatus warganegara Malaysia tetapi bapa bukan warganegara Malaysia adalah seramai 57,549 orang.”

“Daripada jumlah 180,515 orang kanak-kanak itu, seramai 165,121 orang adalah berstatus warganegara Malaysia, manakala 15,394 orang yang lain iaitu 8.5% adalah berstatus bukan warganegara,” ujar beliau sambil menambah kerajaan perlu mengambil inisiatif dalam menentukan dasar yang lebih proaktif dan produktif untuk membantu golongan ini.

“Dalam pada itu, Ibubapa pula harus bertanggungjawab mengatur dan menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan supaya keberadaan kanak-kanak tersebut adalah sah di Malaysia,” kata Timbalan Pengerusi DAP Perak itu lagi.

Tiada ulasan: