HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Julai 2017

Mahathir kecewakan PKR lagi

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Apakah laporan akhbar The Guardian, United Kingdom berhubung pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu bekas Timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia, sebenarnya salah?
 
Tun Dr Mahathir Mohamad yang memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir dua dekad lalu dilaporkan The Guardian sebagai mahu Anwar dibebaskan dari penjara dan diizin bertanding pilihan raya umum. 
 
Menurut The Guardian, Mahathir memberitahunya bahawa tindakan itu perlu diambil kerana Anwar “mangsa dendam politik” dan “diperlakukan secara tidak adil”. 
 
“Keputusan mahkamah jelas dipengaruhi pemerintah dan saya fikir kerajaan akan datang boleh meyakinkan Agong untuk mengampunkan Anwar. 
 
“Jika begitu beliau boleh melibatkan diri dalam politik dan menjadi perdana menteri. Saya tidak akan menolaknya,” kata The Guardian. 
 
Anwar sedang menjalani tempoh penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas disabitkan kesalahan liwat.
 
Bagaimanapun tatkala penyokog PKR dan Anwar girang dengan laporan itu kerana ia dilihat sebagai “pengorbanan atau rajuk” Anwar tidak mahu menjadi calon Perdana Menteri pembangkang nampaknya berbaloi, Mahathir menghempas harapan mereka ke bumi nyata sekali lagi.
 
Walaupun tidak mahu mengakuinya, pemimpin-pemimpin PKR sebenarnya maklum bahawa anak Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah memang ada melakukan “ziarah aidilfitri” terhadap Mahathir di London. 
 
Mereka berhujah bahawa itu adalah aktiviti sosial. Bagaimanapun umum tahu apabila dua ahli politik bertemu di luar negara adalah naif untuk mengatakan bahawa tiada agenda politik dibincangkan. 
 
Lantas laporan awal Guardian segera diraikan sebagai natijah baik hasil ziarah hari raya itu. Namun Mahathir “membunuh harapan” PKR dengan menafikan laporan The Guardian itu pula.
 
Dr. Mahathir menafikan beliau menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri seperti yang dilaporkan oleh The Guardian.
Beliau sebaliknya menegaskan Anwar tidak boleh menjadi pemimpin negara kerana tidak boleh bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
 
“Siapa kata saya sokong, kita bincang struktur parti. Beliau tidak boleh jadi Perdana Menteri sehingga pakatan pembangkang melantik seorang Perdana Menteri sementara.
 
“Sekiranya memang untuk membebaskannya, sehingga itu berlaku, beliau tidak boleh jadi Perdana Menteri.
 
“Perlu ada Perdana Menteri sementara, kalau tidak, beliau tidak boleh jadi Perdana Menteri sebab tidak boleh bertanding,” katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk ‘A Driver’s Son’ oleh Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir di Kuala Lumpur Jumaat lalu.
 
Penyokong PKR terkedu dan termangu. Mahathir masih belum tukar pendirian. Beliau masih yakin Anwar memang tidak layak jadi Perdana Menteri kerana akhlaknya buruk seperti yang pernah dihebahkannya pada tahun 1998 lalu.
 
Sebab itu, Anwar dipecat dan diserahkannya ‘bulat-bulat’ kepada mahkamah untuk menghukumnya dan ‘kerajaan pimpinannya sedikitpun tidak terbabit dengan hukuman terhadap Anwar’.
 
Mungkin bagi Mahathir The Guardian kali ini keliru atau kurang faham kedudukan Anwar pemenjaraan Anwar sekarang adalah tidak wajar dan ada campurtangan kerajaan.
 
The Guardianpun nampaknya terkedu dan tiada sebarang pembetulan dibuat. Yang anehnya, Mahathir tidak pula menuntut supaya The Guardian membuat pembetulan.
 
Sebelum itu Ketua Whip PKR di parlimen, Datuk Johari Abdul pernah melonjakkan harapan penyokong PKR bahawa jika Pakatan Harapan (PH) menang Pilihanraya Umum (PRU-14), Anwar boleh diisytiharkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 dalam tempoh dua minggu, termasuk mengadakan pilihanraya kecil untuk Anwar.
 
Mahathir langsung tidak memberi komen terhadap ‘impian’ PKR itu. Malah beliau menukar sedikit haluan PH dengan memperkenalkan syor partinya, PPBM supaya beliau dilantik Pengerusi PH dengan kuasa eksekutif penuh.
 
Lantaran itu, Anwar “merajuk” dan menarik diri daripada menjadi calon PH bagi mengisi kerusi Perdana Menteri.
 
Namun “tukaran politiknya” ialah Anwar tidak mahu kuasa eksekutif diberi pada Pengerusi PH. Bagi Anwar cukup pengerusi sekadar ‘penyelaras kerja’ PH dan bukan ‘mengarah’ halatujunya. 
 
Lantas harapan besar disandarkan ke atas usaha Nurul dalam misi ziarah aidilfitrinya ke kota London “demi melembutkan sedikit pendirian Mahathir”.
 
Malangnya, “pembetulan” Mahathir akan laporan The Guardian itu amat menyentap PKR. Justeru itu, suara-suara sumbang mulai kedengaran di kalangan komponen PH lain.
 
Antara persoalan utama ialah apakah inisiatif berunding secara langsung wakil PKR itu tidak perlu mendapat restu dan persetujuan PH terlebih dahulu?
 
Limpahan persoalannya ini, PKR dan DAP mula ‘bersilat’ berhubung status apakah kerajaan Selangor pimpinan PKR hari ini Kerajaan Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan? Bukankah Pakatan Rakyat sudah berkubur?
 
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bertegas beliau memimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang mendapat mandat pada PRU 13 lalu. Sebab itu beliau mengekalkan wakil PAS dalam Kerajaan Negeri!
 
Bagaimanapun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berpendirian bahawa PAS tidak boleh menganggotai Kerajaan Selangor kerana PAS bukan kerabat PH yang ditubuhkan untuk menggantikan Pakatan Rakyat yang telah pupus.
 
Perdebatan ini adalah indikator bahawa sakit PH semakin tenat. Sementara itu PPBM mengatur langkah mahu menjadi nakhoda PH tetapi PKR mahu menyekatnya.
 
DAP pula tidak mahu PAS dalam kerajaan Selangor, tetapi PKR tidak menghiraukannya dan Amanah pula belum putus asa berdoa agar PAS ‘ditendang keluar’ Kerajaan Negeri Selangor dan ia boleh mengisi kekosongan yang berlaku.
 
Kini kemelut PH mendapat perhatian antarabangsa. Akhbar The Guardian ghairah melaporkan Mahathir sudah “mengampunkan” Anwar tetapi membisu apabila Mahathir menafikannya.
 
Persoalannya adakah The Guardian mahu ‘mensabotaj Mahathir’ atau mahu ‘menjirus minyak’ pada isu yang ibarat ‘api dalam sekam’ PH ini persis portal Sarawak Report yang giat mencatur politik Malaysia?
 
Atau, adakah The Guardian terlalu ‘bersimpati’ dengan Anwar dan cuba “mengikat” Mahathir dengan laporan ‘kurang tepatnya’ itu bagi “menghidupkan” peluang Anwar menjadi Perdana Menteri? 
 
 

Tiada ulasan: