HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 Julai 2017

Mahathir yang dahulu bukanlah yang sekarang…

FAHMI KHAIRUL




KUALA LUMPUR: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan mampu mencipta “tsunami Melayu” untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) tanpa kehadiran PAS di dalam Pakatan Harapan.

Demikian pandangan penganalisis politik, Dr Jeniri Amir ketika di soal sama ada Dr Mahathir mampu memecahkan undi Melayu.

“Mahathir yang sekarang bukan yang dahulu,” Jeniri memetik lagu ‘Aku yang dulu bukanlah yang sekarang’ yang dinyanyikan oleh Tegar, penyanyi popular dari Indonesia.

“Mahathir yang sekarang adalah Mahathir yang saya lihat personalitinya dan juga kredibilitinya di ragui dan dipertikaikan disebabkan pusingan U-turn yang banyak dilakukan.

“Kesilapan lalu yang dibuat oleh beliau serta kesangsian masih lagi wujud dalam kalangan PKR khususnya dan DAP,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Times (TMT).

Jeniri turut diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menuduh Tun Mahathir menyertai gabungan pembangkang disebabkan kecewa kerana anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak dipilih menjadi Perdana Menteri.

“Itu hujah-hujah, orang boleh mengungkapkan hujah dan mengikut perspektif mereka.

“Mahathir sendiri telah menafikan hakikat itu kerana kalau betul beliau nak Mukhriz menjadi Perdana Menteri, sudah tentu beliau sendiri membenarkan Mukhriz sertai politik apabila beliau menjadi Perdana Menteri.

“Tetapi itu (Mukhriz sertai politik) hanya berlaku selepas Mahathir tidak lagi menjadi Perdana Menteri, jadi hujah itu saya kira hujah yang tidak memberi kesan besar dari segi naratif politik.

PAS sebagai batu penghalang 

Sementara itu, Jeniri berkata, PAS adalah batu penghalang kepada Pakatan Harapan untuk mencipta tsunami Melayu bagi menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

“Perkara paling penting ialah untuk PAS dapat digerakkan bersama Pakatan Harapan untuk memastikan segala strategi dan impian mereka tercapai untuk menumbangkan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau menjelaskan jika Pakatan Harapan dan PAS boleh bersatu, mereka akan berjaya menumbangkan Umno pada pilihan raya umum nanti.

“Kalau mereka bertembung satu lawan satu maka peluang untuk mengalahkan Barisan Nasional itu lebih cerah untuk memastikan kemenangan,” ujarnya.

Jika Anwar dibebaskan…

Selain PAS, Jeniri berkata bahawa Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan satu cabaran kepada BN jika beliau dibebaskan.

“Anwar mempunyai karisma yang begitu tinggi, parti ini (Pakatan Harapan) akan memberi cabaran kepada Barisan Nasional.

“Tapi harus diingat Barisan Nasional kerajaan akan mengadakan pilihan raya umum sebelum Anwar dibebaskan pada tahun depan,” katanya.

Peluang BN

Jeniri berpendirian bahawa pengundi Melayu akan terus setia dan tetap pengundi kepada Barisan Nasional pada PRU-14 nanti.

“Barisan Nasional perlu memenangi kerusi Sabah dan Sarawak dengan jumlah besar dan perlu menangani kerusi kawasan Felda.

“I ‘think’ Najib akan bersemuka dengan mereka ini pada hari Ahad ini sebagai salah satu strategi untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan dan apa harapan yang dapat diberi oleh Najib,” kata Jeniri.–TMT


Tiada ulasan: