HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Malang sungguh Bahasa Melayu



Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah 
 


APA istimewanya pegawai perubatan yang bergelar doktor sehingga dengan mudah diberikan kelonggaran hanya lulus bahasa Melayu peringkat SPM untuk mendapat tempat dalam sektor awam berbanding dengan profesion yang lain?

Apakah negara kita berada dalam keadaan kritikal sehingga sanggup matlamat menghalalkan cara? Apakah benar rugi dakwaan kita akan hilang kepakaran setiap tahun sedangkan mereka hanya pegawai perubatan sahaja, bukan pakar?

Sebelum ini kita pernah didendangkan bahawa berlaku lambakan graduan perubatan. Setiap tahun hampir 5,000 pelajar di dalam bidang perubatan tamat pengajian tetapi hospital latihan hanya dapat menampung kira-kira 3,000 doktor pelatih. Saya amat musykil dengan jawapan yang mengatakan kita amat kritikal kekurangan doktor pelatih. Apa yang sedang dipolitikkan disebalik semuanya ini?

Justeru, saya ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri kerana mengambil berat isu negara ini dan mahukan kementerian berkaitan memberikan penjelasan segera.

Alasan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa kelonggaran syarat kelayakan Lulus BM itu adalah bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM adalah tidak masuk akal. Pegawai Perubatan ini warganegara mana? Afrika atau Malaysia?

Berbanding skim perkhidmatan yang lain, syarat yang lebih tinggi diwajibkan iaitu Kredit BM sebagai syarat lantikan. Manakala, calon yang memohon lantikan secara tetap Pegawai Kesihatan di KKM hanya perlu lulus BM di peringkat SPM. Pendek kata, pegawai perubatan tidak boleh ‘disusahkan’ dengan BM, kononnya perkhidmatan mereka sangat kritikal.

Pergilah ke negara mana pun untuk melanjutkan pelajaran sekalipun, kita mesti lulus bahasa kebangsaan mereka terlebih dahulu sebelum layak untuk meneruskan pengajian. Peliknya, negara kita langsung tidak mengenakan syarat kepada pelajar luar negara yang belajar dan bekerja di sini.

Selepas ini Hua Chong dan Dong Jiao Zong akan mendesak kerajaan mengiktiraf UEC dan standard BM mereka atas dasar, pelajar sekolah Cina tidak diwajarkan ‘disusahkan’ dengan BM, sebab mereka terpaksa menguasai bahasa ibunda.

Jika mereka mengaku anak Malaysia, mahu tinggal di Malaysia, perlulah bersusah sedikit. Ini masalah negara. Jika tidak mahu bersusah, carilah tempat lain yang lebih menyenangkan, tetapi bukan di sini. Saya amat yakin, kebanyakan mereka yang terlibat adalah dalam kalangan bukan Melayu, yang tidak menganggap perkara ini penting.

Keputusan ini sudah tentu akan menambah dan memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari 3 hingga 6 bulan untuk mendapat penempatan di hospital latihan. Pihak bertanggungjawab sanggup mengenepikan agenda negara semata-mata mahu meraikan pelajar perubatan.

Belajarlah daripada Jepun selepas menjadi padang jarak padang tekukur dalam Perang Dunia Ke-II pada 1945. Jepun mementing agenda negara dan membina insan. Jepun mengamalkan ‘making people before making product’. Bina insan dahulu sebelum keluarkan produk.

Keadaan itu berbeza dengan Malaysia, kita mahu mengeluarkan produk tanpa membina insan. Inilah malapetaka sedang menanti. Kelayakan asas bahasa negara adalah isu negara dan tidak boleh dimain-main atau diperjudikan. Jika beginilah caranya kita membina negara, pasti kita akan keluar menjadi negara maju yang gagal. Tidak ada erti kemajuan material tanpa disertai dengan kemajuan pembangunan insan.

Pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara ini dan pegawai perubatan sepatutnya berasa malu. Tidak ada negara yang sanggup membuat keputusan sehina ini hanya kerana mahu meraikan pegawai perubatan. Berlaku adillah kepada pegawai perubatan yang belajar sesungguh-sungguh dalam SPM untuk mendapat A bagi kertas BM. Tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada negara.

Soal BM bukan soal keputusan SPM semata-mata. Ia melibatkan banyak aspek, seperti kenegaraan, jati diri, semangat patriostisme dan lain-lain lagi. Apakah mereka yang berada dalam bidang perubatan tidak nampak perkara ini? 

Mudah sungguh kita berkata, tidak menjadi masalah kepada mereka untuk berinteraksi dengan pesakit dalam BM kerana mereka rakyat Malaysia. Benarkah rakyat Malaysia baik komunikasinya dalam BM? Buatlah kajian. Bukti-bukti menunjukkan, hatta wakil rakyat sekalipun BM mereka berterabur.

Bayangkan bagaimanakah pegawai perubatan ini boleh memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi dengan pesakit? Kerap kali kedengaran berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan kerana doktor tidak dapat memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit.

Kadangkala saya amat musykil kenapa kita perlu menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan BM adalah bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan, yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri negara. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Saya masih ingat bagaimana seorang pelajar Jepun, Masaya Ono, 21, mahasiswa daripada Universiti Bunkyo Gakuin, mengakui terkejut apabila menjumpai rakyat Malaysia tidak pandai bertutur dalam BM. Sebaliknya, pekerja asing lebih fasih berbahasa Melayu berbanding rakyatnya sendiri. Ono berkongsi ceritanya ketika bercuti di beberapa negeri di utara Semenanjung seperti Perak dan Pulau Pinang.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai BM. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Tidak ada syarat langsung kelayakan BM kepada mereka yang bekerja di sektor swasta? Sama ada mereka lulus atau gagal, boleh berbahasa Melayu, atau tidak, sudah tidak menjadi ukuran.

Sehingga hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan BM sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh.

Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh terlepasataupun sudahpun terlepas.

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Lihat sahaja negeri China, Jerman, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak sedemikian? Bahasa Melayu bukan semata-mata subjek wajib lulus peperiksaan, tetapi ia adalah teras kepada perpaduan dan integriti nasional. Penghayatan bahasa kebangsaan dalam menzahirkan kecintaan yang tidak berbelah bahagi kepada negara.

Saya sarankan supaya pelajar yang menjalani persekolahan di luar negara dan menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa diwajibkan mengambil BM level SPM yang dikawal selia oleh Lembaga Peperiksaan Negara. Kelonggaran tidak sepatutnya diberikan meskipun mereka dalam jawatan kontrak.

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Ahli Majlis MAAC
 

Tiada ulasan: