HALAMAN SANTAI

Selasa, 11 Julai 2017

Mayat bayi tanpa kepala, tangan ditemukan, dipercayai dimakan anjing liar

THE MALAYSIAN TIMES



SUNGAI PETANI: Mencampakkan bayi ke tempat sebarangan mengundang dua kemungkinan, sama ada diambil dan dipelihara insan prihatin, atau dimamah haiwan liar.

Sehubungan itu, mayat seorang bayi perempuan berusia 35 minggu ditemukan di hadapan sebuah kilang di Jalan Bakar Arang di sini semalam tanpa kepala dan tangan, dipercayai telah dimakan anjing liar.

Mayat bayi berkenaan sebelum itu dipercayai telah diletakkan di sekitar kawasan kilang tersebut oleh ibu bayi atau teman ibu itu dengan harapan ada insan yang mengambil untuk memeliharanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa berkata mayat bayi malang itu dijumpai orang awam di kawasan berkenaan pada 4.30 pagi dan dipercayai telah mati sejak sehari atau dua hari lepas.

“Kepala dan kedua-dua tangan bayi terbabit dipercayai dimakan anjing liar, ini susulan maklumat awal yang mendakwa  mayat terbabit dikelilingi anjing sebelum orang awam menyedari bahawa ia adalah mayat bayi.

“Hasil bedah siasat menyebut punca kematian adalah ‘tidak dapat dipastikan,” kata Md Zukir dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.
Suspek kes berkenaan belum dapat dikesan setakat ini.–Bernama


Tiada ulasan: