HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

MB Kelantan: Kenyataan Salahuddin dan Husam tak bercanggah, kata Anuar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
Post Pic


SHAH ALAM: Tak perlu diperbesarkan perbezaan kenyataan antara Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dengan Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkenaan jawatan Menteri Besar Kelantan.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata apa yang dinyatakan Salahuddin adalah selari dengan pendirian parti, iaitu tiada lagi perbincangan bersabit calon MB Kelantan sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dalam pilihan raya yang akan datang.

Malah mengulas kenyataan Husam semalam, Anuar menyifatkan ia tidak lebih dari menghargai cadangan yang disuarakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Memang betul kita belum bincang, calon pun belum dinamakan, apatah lagi jawatan-jawatan besar sebagai menteri dan sebagainya.

"Ia bermakna Husam menghargai sebagai seorang manusia yang berbudi. Jika ada orang sebut yang baik tentang kita, seperti kelayakan, tentulah beliau sebagai orang Melayu yang berbudi akan menyatakan penghargaannya. Tidak lebih dari itu.

"Soal dasar parti yang hendak memilih siapa, bila, di mana, itu soal lain. Itu yang disebut oleh Salahuddin. Pada saya tiada percanggahan dalam isu ini," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Anuar mengulas kenyataan Husam semalam bahawa dirinya menerima cadangan Kit Siang yang menamakannya sebagai Menteri Besar Kelantan jika gagasan pembangkang menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Namun ADUN Salor itu menegaskan penerimaan itu dibuat atas dasar strategi politik, dan memerlukan persetujuan dari kesemua komponen PH.

Kenyataan Husam itu dilihat berbeza dengan kenyataan Salahuddin beberapa hari lalu yang menganggap cadangan Kit Siang itu sebagai pandangan peribadi, apatah lagi Amanah belum pun membincangkan soal siapa yang layak untuk jawatan berkenaan.

Malah Salahuddin juga mahu rakyat Kelantan sendiri menentukan calon menteri besarnya, berdasarkan penilaian mereka.

Kit Siang melontarkan cadangan itu ketika menghadiri majlis sambutan Aidilfitri di Kota Bharu pada 30 Jun lalu.

Menurut Kit Siang, beliau yakin Husam mampu membawa perubahan kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepimpinan PAS.

Cadangan Kit Siang itu bagaimanapun mendapat kritikan PAS.

Anuar dalam pada itu berpandangan belum tiba masa yang sesuai untuk membincangkan soal sedemikian secara umum.

"Keadaan itu belum sampai lagi (untuk bincang). Dalam mana-mana keadaan pun apabila sebuah parti yang mempunyai paling ramai anggota di dalam Parlimen atau ADUN, barulah mereka tentukan (siapa)," ujarnya.

Tiada ulasan: