HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

Muar: Muhyiddin nasihat Razali jangan gelabah

Muhammad Azizul Osman
Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim tidak perlu gelabah sekiranya dakwaan beliau akan bertanding di Muar menjadi kenyataan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Malah Muhyiddin turut menasihatkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu agar terus fokus kepada Parlimen Muar sekiranya ingin terus menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya tidak tahu mengapa Datuk Razali menggelabah dan saya tidak tahu daripada mana sumber yang dia dapat bahawa saya akan berhijrah dan akan bertanding di Parlimen Muar.

“Kalau sebenarnya dia rasa dia masih popular dan dapat sokongan yang ramai saya fikir dia tidak perlu nak bimbang samada yang nak masuk bertanding itu saya ataupun sesiapa sahaja,” katanya dalam satu video terbaharu parti itu hari ini.

Pada Ahad lalu, Razali berkata, beliau sedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Muar sekiranya bekas Timbalan Perdana Menteri itu ingin bertanding di kawasan tersebut dan bukannya kerusi tradisinya, Pagoh.

Soal Razali, mengapa kawasannya yang menjadi sasaran Muhyiddin biarpun pernah menjadi pengundi dan tinggal di daerah itu.

“Nasihat saya pada Razali jaga kawasan Muar itu baik-baik kalau BN nak terus menang dan dia masih nak jadi wakil rakyat. Itu pun kalau Presiden UMNO bersetuju dia jadi calon, kalau tidak jadi calon tidak jadi cerita.

“Jangan bimbang kalau saya nak masuk bertanding di Muar pun, saya pemimpin kecil sahaja. Dia jangan bimbang, dia boleh menang lagi.

“Kalau betul-betul nak jadi wakil rakyat lagi, dia kena jaga dan tunjukkan bahawa negara kini berdepan dengan isu dan permasalahan,” nasihat bekas Timbalan Presiden UMNO itu.

Pada Ogos 2016, spekulasi kuat mengatakan Muhyiddin tidak lagi akan mempertahankan kerusi parlimen Pagoh pada pilihan raya umum akan datang.

Perkara itu didedahkan wartawan veteran Datuk Ahiruddin Atan yang mendakwa langkah Muhyiddin berpindah ke Muar adalah bagi memastikan survival politik beliau. -MalaysiaGazette


Tiada ulasan: