HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Julai 2017

Najib sifatkan BTN sebagai tunjang pemerintahan negara

Muhamad Izwan Mohd Zubit
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Datuk Ibrahim Saad (tiga kiri) bersalaman dengan hadirin ketika hadir pada Himpunan Perdana Menteri bersama warga, sahabat dan bekas peserta Biro Tatanegara (BTN) di Akademi Kenegaraan, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR
 

KUALA LUMPUR – Biro Tatanegara (BTN) merupakan tunjang pemerintahan negara dalam memastikan kelangsungan kerajaan sedia ada mentadbir negara dengan aman dan tanpa sebarang ancaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, BTN terus memainkan peranan dengan mencorakkan minda dan memberi semangat kepada rakyat Malaysia bagi mengekalkan kerajaan sedia ada meneruskan perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada semua ahli BTN, dulu dan sekarang yang memainkan peranan untuk memastikan kerajaan hari ini terus menjadi tunjang pemerintahan negara.

“BTN ditubuh bagi menyumbang kepada terbentuknya minda dan semangat di kalangan rakyat Malaysia untuk membantu menjamin sebuah kerajaan yang dapat terus melangsungkan kepimpinannya dan melangsungkan kekuasaan untuk meneruskan agenda agama, bangsa dan negara menjangkau satu tempoh yang memerlukan sebuah kerajaan yang dapat bertahan lama,” kata Najib semasa Himpunan Perdana PM bersama warga, sahabat dan bekas peserta BTN Biro di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy hari ini.

Najib berkata, peranan BTN masih relevan pada masa ini khususnya dalam memupuk semangat patriotisme di kalangan anak muda yang tidak tahu erti susah payah generasi terdahulu yang berjuang untuk memerdekakan negara.

“Generasi milenia hari ini tak tahu mengenai ancaman politik, krisis negara. Hasil pejuang dan perit jerih kerajaan.

“Generasi TN50, akan datang, generasi milenia, kita kena tanam dengan daya juang dan semangat patriotisne.

“BTN teruskan perjuangan kerana masih relevan. Perjuangan kita tidak terhenti, mesti teruskan. PRU14-16, kita dok jaminan kemenangan.

“Kini, munculnya generasi yang disebut generasi Milenia dan mereka ini tidak lalui penderitaan dan jerih payah seperti generasi terdahulu yang terlibat menentang penjajahan, konfrontasi dan ancaman politik sebelum ini yang sama-sama kita hadapi.

“Generasi hari ini bertuah kerana mereka lebih terdidik kerana perjuangan dibawa kerajaan, mereka lebih mewah hari ini kerana hasil kerajaan hari ini dan masa depan yang baik hari ini adalah kerana perjuangan generasi terdahulu,” ujarnya.

Najib juga melahirkan rasa lega hasil daripada keamanan yang dikecapi negara apabila setiap sambutan perayaan yang diraikan berjalan tanpa berlaku huru hara dan kekecohan seperti dialami negara-negara lain. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: