HALAMAN SANTAI

Rabu, 12 Julai 2017

NSTP diperintah bayar Guan Eng RM150,000

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan separuh daripada ganti rugi yang perlu dibayar oleh syarikat penerbitan, New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung satu artikel berunsur fitnah berkaitan prosiding mahkamah, tahun lalu.
 
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Zawawi Salleh memerintahkan NSTP membayar RM150,000 kepada pemimpin pembangkang itu selepas membenarkan sebahagian rayuan syarikat berkenaan agar ganti rugi RM300,000 yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dikurangkan.
 
Beliau yang bersidang bersama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Asmabi Mohamad bagaimanapun tidak mengubah dapatan fakta Mahkamah Tinggi dan mengekalkan keputusan hakim bicara terhadap liabiliti.
 
Pada 13 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan saman yang difailkan oleh Guan Eng terhadap syarikat akhbar berkenaan dan wartawannya selepas berpuas hati laporan yang disiarkan dalam akhbar terbitan syarikat itu, Berita Harian (BH) diputarbelitkan dan berunsur fitnah.
 
Guan Eng menyaman NSTP susulan penerbitan laporan bertajuk `Guan Eng tarik balik saman terhadap bekas Ketua Pemuda Umno negeri' yang diterbitkan oleh BH pada 20 Ogos 2015. 


Tiada ulasan: