HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Op Selamat 11 terbaik - KPN

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Op Selamat 11/2017 sempena Aidilfitri lalu disifatkan sebagai yang terbaik apabila berjaya menurunkan kadar kematian dan kemalangan maut dalam tempoh 15 hari pelaksanaannya yang berakhir pada 2 Jun lalu.
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata beliau berpuas hati dengan prestasi operasi kali ini yang menggunakan kaedah penguatkuasaan penuh yang dilihat sebagai antara faktor menyumbang kepada penurunan kes kematian akibat kemalangan.
 
Katanya, dalam tempoh itu jumlah kematian dicatatkan adalah 257, menurun 42 orang atau 14% berbanding Op Selamat 9/2016 iaitu 299 orang.
 
Selain itu, kadar kemalangan maut turut menurun kepada 239 kes berbanding 273 kes tahun lalu.
 
"Tujuan utama operasi ni dibuat adalah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai untuk mengambil langkah keselamatan dalam memastikan mereka selamat sampai ke destinasi.
 
"Walaupun jumlah kemalangan meningkat iaitu sebanyak 1,420 kes kepada 22,402 kes namun, kemalangan maut dan kematian berjaya dikurangkan.
 
"Penunggang dan pembonceng motosikal masih lagi mendominasi jumlah kematian membabitkan 170 korban nyawa tetapi jumlah itu menurun 17 kes berbanding tahun lalu," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Kontinjen dan Daerah Terbaik Op Selamat 11/2017 di Bukit Aman, di sini, hari ini.
 
Pada majlis itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Selangor dinobatkan sebagai daerah terbaik manakala, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis negeri terbaik Op Selamat 11/2017.
 
Mengulas lanjut Khalid berkata, analisis Op Selamat kali ini menunjukkan bahawa faktor terbabas sendiri menjadi punca utama yang menyebabkan kemalangan maut, dengan jumlah 65 kes.
 
"Faktor lain yang menyumbang kepada kematian adalah kecuaian dan kelalaian serta gagal mematuhi peraturan jalan raya," katanya.
 
Katanya, sepanjang pelaksanaan Op Selamat 11 juga, sebanyak 277,832 saman dikeluarkan daripada 6,309 operasi yang dilakukan.
 
Selain itu, katanya kes pecah rumah juga turut menurun sebanyak 165 kes atau 21 peratus kepada 629 berbanding tahun lalu sebanyak 794 kes.
 
 

Tiada ulasan: