HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Julai 2017

Ops Noda tahan 30 wanita warga asing di JB

Wartawan MalaysiaGazette
Sebahagian wanita warga asing yang ditahan dalam enam serbuan Ops Noda dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Johor di sekitar bandar raya Johor Bahru bermula malam tadi hingga awal pagi ini.


JOHOR BAHRU – Polis Johor terus mempertingkatkan usaha membanteras aktiviti tidak bermoral dan awal pagi tadi seramai 39 orang termasuk 30 wanita asing ditahan di sekitar bandar raya ini dalam Ops Noda.

Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki tempatan merupakan penjaga premis berusia antara 28 hingga 55 tahun dan wanita rakyat asing bekerja sebagai tukang urut masing-masing tujuh wanita Thailand, Vietnam (20) dan Indonesia (3) berusia 18 hingga 28 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, dalam serbuan awal pagi itu, polis menyelamatkan lapan wanita Vietnam dan dua wanita China berusia antara 16 hingga 34 tahun yang disyaki diekploitasi seks bekerja sebagai tukang urut.

Tambahnya, seramai 11 pelanggan lelaki tempatan dan enam lelaki rakyat asing berusia antara 23 hingga 41 tahun ditahan dan dibebaskan selepas percakapan mereka direkodkan bagi membantu siasatan.

“Sebanyak enam serbuan menerusi Ops Noda dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Johor iaitu 5 di rumah urut dan satu di sebuah pub di sekitar bandar raya ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam operasi itu juga, Azman berkata, polis berjaya merampas wang tunai berjumlah RM7,760, 77 keping kondom, 27 botol minyak urut, 20 helai tuala dan 8 gulung tisu.

Tambahnya, tindakan akan diambil mengikut Enakmen Hiburan Negeri Johor, Akta Imigresen, Akta Kerajaan Tempatan dan Akta AntiPemerdagangan Orang.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, dalam tempoh Januari hingga Jun tahun ini, polis telah melaksanakan lebih 600 pemeriksaan dan serbuan di bawah Operasi Noda melibatkan lebih 400 kes telah dituduh dan dihadapkan ke mahkamah.

Polis juga akan meneruskan tindakan di bawah Ops Noda secara berterusan dan mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: