HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

Pakatan Harapan Boleh Menang 50 Kerusi Tambahan Di Semenanjung

AKHBAR RAKYAT

 
Oleh RAFIZI RAMLI

Dengan ura-ura PRU14 akan dipanggil dalam bulan Oktober 2017 selepas pembentangan Bajet 2017, kempen Pakatan Harapan mesti lebih berfokus dan bijak dengan menumpukan kepada sasaran pengundi yang tepat, isu yang tepat dan kerusi-kerusi Parlimen yang tepat.

Walaupun ramai penganalisa politik membayangkan Dato’ Seri Najib Razak tidak mempunyai kesukaran untuk memenangi PRU14 atas alasan pertandingan tiga penjuru di antara Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS; segala analisa dan maklumbalas dari kalangan ratusan ribu pengundi setakat ini menunjukkan persaingan sengit di antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan untuk memenangi Putrajaya.

Pantauan sentimen pengundi yang dibuat oleh INVOKE (yang menelefon pengundi setiap hari) menunjukkan Pakatan Harapan kini mendahului di 97 kerusi Parlimen sementara Barisan Nasional mendahului di 125 kerusi Parlimen yang lain jika pertandingan 3 penjuru berlaku. Ini bermakna, jika pilihanraya dipanggil hari ini, Dato’ Seri Najib hanya menang dengan majoriti 13 kerusi yang hampir pasti menyebabkan beliau digulingkan dari dalam Umno sendiri.

Oleh sebab itu, saya mengambil tugas untuk memberi tumpuan khusus di kerusi-kerusi marginal yang dikenal pasti di Semenanjung. Kerusi-kerusi ini adalah kerusi yang dimenangi Umno/Barisan Nasional dengan kelebihan kurang dari 10% undi dalam PRU13 yang lalu. Saya percaya dengan meningkatkan kempen secara tersusun di kerusi-kerusi marginal ini, Pakatan Harapan boleh memenangi PRU14 kelak.

Saya juga telah mengenal pasti isu-isu utama untuk menarik minat pengundi atas pagar di kerusi-kerusi ini. Walaupun mereka (pengundi atas pagar) sedia maklum mengenai skandal 1MDB dan tuduhan menyeleweng dana awam terhadap Dato’ Seri Najib, mereka sebenarnya lebih tertarik kepada isu-isu yang mempunyai kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka.

Isu-isu yang telah dikenal pasti paling penting di kalangan pengundi atas pagar ialah:

1. Kenaikan harga barang yang dikira tidak terkawal – sebab itu rata-rata pengundi atas pagar mahukan GST dimansuhkan dan subsidi minyak dikembalikan

2. Kenaikan gaji yang rendah dan tidak setimpal dengan kenaikan harga barang

3. Lambakan pekerja asing yang dirasakan menyempitkan peluang pekerjaan yang ada kepada pekerja tempatan

Maka, saya dan sahabat-sahabat dari Pakatan Harapan telah pun memulakan kempen khusus di 50 kerusi-kerusi yang dikategorikan sebagai marginal bermula di Johor Bharu pada hari Ahad yang lalu.
Kempen ini adalah berbeza dari ceramah biasa yang dibuat oleh pembangkang sebelum ini, seperti berikut:

i. Kempen dibuat di siang hari sama ada pada waktu pagi atau petang

ii. Kempen dijenamakan khusus sebagai “Jom Bina Semula Negara” dengan menggunakan satu trak kempen khusus yang telah diubahsuai

iii. Kempen bernada positif dengan memberi lebih tumpuan kepada cadangan penyelesaian kepada 3 isu utama yang disenaraikan di atas

iv. Kempen berkisar kepada isu kenaikan harga barang, menaikkan gaji dan menyelesaikan lambakan pekerja asing

v. Kaunter-kaunter pendaftaran mengundi dan menjadi jentera pilihanraya dibuka

vi. Kaunter menjual baju dan buku dibuka

vii. Trak kempen mempunyai set BBQ sendiri dan di setiap persinggahan, krew trak akan membakar BBQ untuk mewujudkan suasana santai

viii. Ucapan diselang-seli dengan nyanyian oleh sukarelawan INVOKE

Persinggahan pertama kempen “Bina Semula Negara” ini di Johor Bharu berjaya menarik kehadiran sekitar 200 orang pada hari Ahad (hari bekerja jabatan kerajaan) pada jam 3 petang. Selain saya, pimpinan Pakatan Harapan lain yang turut serta adalah Haji Salehuddin Ayob (Timbalan Presiden AMANAH), Saudara Hassan Karim (Pengerusi KEADILAN Johor), YB Andrew Chen (ADUN Stulang dari DAP), Dato’ Osman Safian (Setiausaha PPBM Johor), Saudara Suhaizan Kayat (Setiausaha Pengelola AMANAH) dan YB Jimmy Puah (Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor).
Persinggahan trak kempen “Bina Semula Negara” yang seterusnya ialah di kerusi-kerusi marginal di Utara seperti berikut:

i. Sabtu, 15 Julai 2017 – pagi di Tanjung Malim, petang di Padang Rengas dan malam di Tambun

ii. Ahad, 16 Julai 2017 – tengahari di Sungai Petani, petang di Balik Pulau dan malam di Bagan Serai

Selain saya, pimpinan Pakatan Harapan lain yang akan turut serta adalah YB Dato’ Dr Mujahid Yusuf Rawa, YB Dr Lee Boon Chye, YB Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, YB M Kulasegaran, YB Dato’ Johari Abdul, Dato’ Abdul Halim Hussin dan ramai lagi.

Saya galakkan seberapa ramai rakyat Malaysia meluangkan masa untuk mengikuti trak kempen “Bina Semula Negara” supaya anda sedia maklum perancangan Pakatan Harapan untuk mengatasi 3 masalah utama tadi.

Maklumat tempat dan masa bagi setiap persinggahan boleh diperolehi di laman INVOKE www.invokemalaysia.org atau di laman Facebook page saya. Anda boleh mendaftar secara percuma untuk mendapat maklumat terkini di http://bit.ly/JomBinaSemulaNegara

Saya yakin dengan momentum yang dibina di Johor Bharu, Pakatan Harapan akan berjaya memenangi 50 kerusi marginal yang dikenal pasti untuk membentuk kerajaan di Putrajaya kelak.

*RAFIZI RAMLI, AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN 


Tiada ulasan: