HALAMAN SANTAI

Selasa, 4 Julai 2017

Pembangkang masih gagal yakinkan rakyat, kata PAS

Berita Daily Staff

Tiada publisiti secukupnya diberikan kepada dua negeri yang ditadbir pembangkang, dalam usaha menonjolkan kemampuan mereka

KUALA LUMPUR: PAS akui parti pembangkang gagal memberi keyakinan kepada rakyat khususnya perihal menyelesaikan masalah semasa yang membelenggu pada hari ini.

Naib Presidennya, Iskandar Abdul Samad berkata kejayaan pembangkang yang diantaranya ialah mentadbir Selangor dan Kelantan sebenarnya masih belum cukup untuk ‘mengambil hati’ rakyat sebagai menukar sokongan mereka daripada Barisan Nasional (BN).

“Kenaikan kos sara hidup dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memang menekan rakyat tetapi rakyat mahu melihat penyelesaian dari pembangkang sebelum memberi undi kepada mereka.

“Rakyat hari ini semakin bijak dan pembangkang tidak boleh sekadar memainkan isu-isu sahaja tetapi rakyat mahu melihat dengan terang dan jelas bagaimana negara ini akan ditadbir jika pembangkang diberi kuasa,” kata Iskandar memetik kenyataannya hari ini.

Beliau turut mendakwa tiada publisiti secukupnya diberikan kepada dua negeri yang ditadbir pembangkang, dalam usaha menonjolkan kemampuan mereka.

“Kejayaan pentadbiran di negeri Selangor dan Kelantan juga mesti diberi publisiti yang meluas untuk meyakinkan rakyat akan kemampuan pembangkang.

“Tetapi pembangkang tidak boleh merasa terlalu yakin walaupun BN sedang sarat dengan masalah seperti isu 1MDB kerana di dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Tambahan pula jika tarikh pilihan raya masih jauh lagi,” jelasnya.

Dalam usaha menawan sokongan rakyat dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 kelak, Iskandar berkata pembangkang perlu menterjemahkan segala dasar yang merangkumi semua perkara yang dekat dan berkaitan dengan rakyat.

Tiada ulasan: