HALAMAN SANTAI

Sabtu, 15 Julai 2017

Pembantu Rosmah: Wan Azizah percaya ke cakap Mahathir?

MALAYSIAKINI


Pembantu kepada isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor mempersoalkan mengapa Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempercayai bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan ringkas, Rizal berkata, Mahathir pernah berjanji untuk menjadikan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penggantinya ketika memegang jawatan perdana menteri.

"Wan Azizah percaya ke cakap Mahathir?

"Dulu Mahathir kata Anwarlah pengganti PM.. akhirnya Anwar mendiami Penjara Sungai Buloh," kata Rizal.

Rizal berkata, Mahathir juga melantik Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya tetapi kemudian berusaha menjatuhkannya agar Datuk Seri Najib Razak dilantik sebagai perdana menteri.

"Mahathir angkat Pak Lah jadi PM..lepas tu dia juga tumbangkan. Lepas tu Mahathir angkat Najib Razak jadi PM, lepas tu dia nak tumbangkan.

"Nak kena patuk ular yang sama?"Soalnya.

Anwar dipecat ketika menjadi timbalan kepada Mahathir pada 1998 atas tuduhan rasuah dan salah laku seks.

Ketika dipenjara, Wan Azizah menubuhkan sebuah parti politik bagi meneruskan perjuangan reformasi suaminya, yang kini dikenali sebagai PKR.

Anwar dibebaskan dari penjara pada 20014 selepas tuduhan liwat ke atasnya digugurkan semasa Abdullah menjadi perdana menteri.

Semasa pentadbiran Najib, ketua umum PKR itu sekali lagi dipenjarakan pada 10 Februari 2015 atas tuduhan liwat kali kedua.

Sekali lagi, Anwar menegaskan tuduhan ke atasnya adalah konspirasi politik untuk menjatuhkan karier politiknya sebagai ketua pembangkang.

Selepas Anwar dipenjarakan semula, Mahathir memulakan serangan terhadap Najib yang didakwanya melakukan penyelewengan terutama dalam isu membabitkan 1MDB.

Mahathir kemudian meninggalkan Umno dan menubuhkan sebuah parti baru yang dinamakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku termasuk dakwaan menggunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

BERSATU kemudian bergabung dengan parti-parti politik pembangkang, termasuk PKR untuk membentuk sebuah gabungan yang dinamakan Pakatan Harapan.


Tiada ulasan: