HALAMAN SANTAI

Jumaat, 14 Julai 2017

Penerjun ATM terjatuh atas bumbung bangunan

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
MELAKA: Seorang penerjun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cedera kaki kanan selepas gagal mendarat dalam satu latihan terjunan di Kem Terendak, Sungai Udang, di sini. 
 
Dalam kejadian jam 12.10 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an dilaporkan patah bahagian keting kaki kanan selepas terjatuh di atas bumbung blok kediaman di kem berkenaan. 
 
Difahamkan, mangsa gagal mendarat di lokasi pendaratan yang ditetapkan dipercayai disebabkan oleh faktor keadaan angin yang kuat. 
 
Sumber berkata, mangsa bersama sekumpulan anggota sedang menjalani rutin latihan terjunan dari sebuah pesawat pada ketinggian kira-kira 5,000 kaki dari udara. 
 
"Bagaimanapun, anggota tentera berkenaan kini berada dalam keadaan stabil. 
 
"Dia sudah diberi rawatan kecemasan dan kini ditempatkan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak," kata sumber itu. 
 
Sementara itu, beberapa keping gambar memaparkan seorang anggota tentera yang cedera selepas terjatuh di atas bumbung di sebuah kem mulai viral di laman Facebook, sejak malam tadi.
 
 

Tiada ulasan: