HALAMAN SANTAI

Rabu, 5 Julai 2017

Perjudi nyawa demi gaya




Perjudi nyawa demi gaya
Nazli menunjukkan kereta klon yang dirampas JPJ Selangor. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB


SHAH ALAM - Bagi memenuhi keinginan dan mahu kelihatan lebih bergaya, segelintir pihak sanggup mengetepikan undang-undang untuk memiliki kenderaan klon jenis mewah.

Apatah lagi harga ditawarkan jauh lebih murah dari harga asal membuatkan lebih ramai ghairah untuk memilikinya.

Walaupun sedar kenderaan terbabit tidak mengikut spesifikasi dan tiada kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun keinginan mengatasi segala-galanya.

Pengarah JPJ Selangor, Nazli Md Taib berkata, 90 peratus pemilik kenderaan klon sedar tindakan mereka salah di sisi undang-undang, namun terjerat dengan harga yang ditawarkan.

“Saya yakin orang ramai tahu tindakan memiliki kenderaan klon salah, namun saya tidak menolak kemungkinan mereka tidak tahu hukuman atau denda yang akan dikenakan jika tertangkap.

“Jangan hanya mementingkan gaya sedangkan pelbagai risiko lain sedang menanti apatah lagi kereta klon tidak ada perlindungan insurans sekiranya berlaku sebarang kemalangan atau sebagainya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Berdasarkan statistik daripada 2010 hingga Mei tahun ini, beliau menyatakan 372 kenderaan klon telah dirampas di mana 143 daripadanya telah dilucut hak.

“Setakat ini jumlah kes yang telah selesai di mahkamah 43 kes di mana ianya melibatkan jumlah denda RM573,700. Kebanyakan jenama kenderaan yang terlibat adalah Honda , BMW, Volkswagen dan Mini Cooper yang diseludup masuk dari Singapura.

“Di Selangor, kenderaan klon yang ditahan akan melalui prosedur seperti biasa di mana ia akan dibawa ke mahkamah untuk proses lucut hak dan selepas itu JPJ akan buat keputusan sama ada kenderaan itu akan dilelongkan atau dilesenkan dan jual sebagai scrap’,” katanya.

Tiada ulasan: