HALAMAN SANTAI

Khamis, 6 Julai 2017

Perkasa: MOSSAD, CIA punca ‘serangan’ terhadap Al-Qardawi, Zakir Naik

Berita Daily Staff

Perkasa turut menggesa agar Kementerian Luar Malaysia segera menggunakan setiap saluran diplomatik yang ada untuk mengharmonikan pertelagahan negara-negara Arab di Asia Barat

KUALA LUMPUR: Serangan-serangan terhadap tokoh-tokoh ulama Islam seperti Dr Syeikh Yusuf Al-Qardawi dan Dr Zakir Naik dan dikaitkan dengan isu radikalisme serta terorisme kebelakangan ini sebenarnya hasil perancangan teliti dan konspirasi licik pihak Barat serta agensi perisikan Barat seperti MOSSAD, CIA dan beberapa agensi lain.

Natijahnya, negara-negara Islam menjadi kucar kacir dan kacau bilau. Lihatlah apa yang telah berlaku kepada Afghanistan, Iraq, Syria dan yang terkini konflik Qatar dengan beberapa Arab yang lain.

Demikian kata Dr Amini Amir Abdullah, ahli dewan tertinggi (ADT), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang turut menuntut supaya Al-Qardawi perlu dibicarakan secara adil dan saksama.

Perkasa merujuk kepada laporan terkini dalam agensi berita asing mengenai ulama tersohor Profesor Al-Qardawi yang dituduh oleh Barat dan beberapa negara Arab yang didakwa sebagai penyokong keganasan dan terlibat dengan keganasan.

“Perkasa mengetahui terdapat dua ucapan beliau yang mencetuskan kontroversi iaitu ucapannya di Dataran Tahrir, Mesir pada 2011 dan sebuah ucapan lagi di sebuah masjid di Doha, Qatar pada 2013. Perkasa meminta agar ucapan-ucapan ini dinilai semula dan diberikan keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Dr Amini, Qardawi juga pernah dituduh terlibat dengan ekstremisme semata mata kerana beliau mengkritik Yahudi Zionis sebagai perosak kerana pemalsuan sejarah yang dilakukan oleh mereka dan mengabsahkan tindakan mati syahid para pejuang Palestin yang mempertahankan maruah dan martabat negara mereka yang berdaulat.

“Adakah tuduhan terkini bahawa Qardawi terlibat dengan aktiviti keganasan adalah pengulangan dendam lama dengan cerita baharu? Adakah Yahudi Zionis sedang terlibat dengan plot menghuru-harakan rantau Asia Barat dan hubungan negara Arab-Qatar serta menjatuhkan Yusuf Qardawi? Siapakah berada di belakang semua insiden ini?” soal beliau.

“Perkasa meminta beliau dibicarakan secara adil dan saksama memandangkan beliau adalah tokoh ulama Islam tersohor abad ini. Beliau juga adalah Pengerusi Kesatuan Ulama-ulama Islam Sedunia. Beliau telah dijemput berceramah di seluruh dunia dan salah satu program rancangannya dalam Al-Jazeerah yang bertajuk Syariah dan Kehidupan telah disaksikan oleh lebih 40 juta orang di seluruh dunia,”ujar beliau.

“Perkasa percaya Yusuf Qardawi tidak bersalah justeru beliau perlu dipertahankan dan dibela. Mana mungkin seorang ulama tersohor di dunia seperti Qardawi yang telah menulis lebih 120 buah buku yang terjual habis dan ratusan makalah serta berusia 91 tahun boleh terlibat dalam aktiviti keganasan,” tambah beliau lagi.

Perkasa turut menggesa agar Kementerian Luar Malaysia segera menggunakan setiap saluran diplomatik yang ada untuk mengharmonikan pertelagahan negara-negara Arab di Asia Barat dan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada Sheikh Yusuf Qardawi.

“Kesatuan Negara-negara Islam (OIC) adalah wahana terbaik untuk meralisasikan inisiatif murni ini,” tegasnya.

Tiada ulasan: