HALAMAN SANTAI

Ahad, 16 Julai 2017

Puad yakin Zakaria Arshad mahu dijadikan kambing hitam

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
BATU PAHAT: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad mungkin dijadikan kambing hitam dalam krisis dalaman Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.
 
Justeru beliau meminta pihak bebas yang dilantik kerajaan untuk menyelesaikan krisis agensi itu menyiasat usaha pihak tertentu yang mahu berlaku tidak adil kepada Zakaria.
 
Puad berkata beliau percaya ada gerakan dan tindakan terancang yang mahu memastikan Zakaria yang juga Presiden FGV didapati bersalah dan kemudiannya dipecat.
 
“Saya difahamkan terdapat usaha untuk memastikan Datuk Zakaria dijadikan sebagai kambing hitam, didapati bersalah atas semua tuduhan dan kemudiannya dipecat.
 
“Apakah motifnya, adakah supaya ada individu lain akan terselamat dan dilihat sebagai tidak bersalah. Sebenarnya ada pihak yang amat takut jika Zakaria kekal sebagai Presiden dan CEO sebab beliau memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Hotel Katerina, di sini sebentar tadi.
 
Lembaga Pengarah FGV pada awal bulan ini mengarahkan Zakaria dan tiga pegawai kanan lain supaya bercuti bagi membolehkan siasatan dalaman dilaksanakan secara terperinci berhubung dakwaan salah laku dalam urus niaga membabitkan syarikat Safitex Trading LLC kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products Sdn Bhd.
 
Zakaria yakin dirinya berada di pihak yang benar di sebalik kemelut yang melanda FGV ketika ini.
 
Susulan krisis itu, Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad meletakkan jawatan secara suka rela dan beliau kini dilantik menjadi pemangku Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
 
 

Tiada ulasan: