HALAMAN SANTAI

Khamis, 13 Julai 2017

Pulau Pinang azan dua kali setiap subuh




Pernah didakwa melarang azan, pihak berkuasa Islam di Pulau Pinang kini menggalakkan masjid di negeri itu melaungkan azan dua kali setiap subuh.

Kenyataan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) melalui surat bertarikh 6 Julai lalu dan ditandatangani sendiri oleh pengarahnya, Datuk Sazali Hussein.

Bercakap kepada Malaysiakini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Noor berkata pihaknya mengeluarkan nasihat itu setelah melakukan perbincangan mengenainya selama enam tahun.

"Ia dibuat berdasarkan keputusan Mesyuarat Jawatankusa Mufti Pulau Pinang pada 18 dan 19 April lalu.

"Jabatan Mufti meminta Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jaipp mengeluarkan surat kepada masjid dan surau di seluruh negeri mengenai nasihat itu," katanya.

Menurut Wan Salim, amalan berkenaan dibuat sebagai langkah melaksanakan sunnah yang pernah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW dulu.

Katanya lagi azan pertama dilaungkan kira-kira 30 minit lebih awal daripada waktu Subuh dan bertujuan untuk mengejutkan umat Islam daripada tidur.

Azan kedua pula, katanya, dikumandangkan sebaik masuk waktu solat Subuh.

Suka jika diseragamkan

Bagaimanapun, Wan Salim berkata, ia bukanlah dimestikan kepada masjid dan surau, sebaliknya ia digalakkan kepada mereka.

Untuk makluman, amalan azan dua kali pada setiap subuh bukanlah sesuatu yang aneh. Ia memang diamalkan di beberapa negara lain termasuk Arab Saudi.

“Arahan ini bukan satu yang wajib, terserah pada pihak masjid dan surau nak mula bila, atau mereka nak buat atau tidak.

“Tapi kami lagi suka kalau ia diseragamkan di Pulau Pinang," katanya.

Isu berkaitan azan di Pulau Pinang pernah hangat diperkatakan suatu ketika dulu, malah seorang pemimpin PAS peringkat kawasan pernah mendakwa kerajaan negeri melarang azan dikumandangkan di negeri berkenaan.

Bagaimanapun Yang Dipertua PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim, kemudian meminta maaf kerana membuat kenyataan berkenaan.

Jelas Shahruddin, kenyataan tersebut dikeluarkan kerana kebimbangannya terhadap sikap DAP dan sekutu parti itu yang dituduhnya menentang usaha menegakkan syariat Islam di negara ini.

Selain Pulau Pinang, Pahang, Perlis dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor turut mengamalkan azan subuh dua kali ketika ini.

Sementara itu Wan Salim berkata pihaknya akan turun padang dan memberi penerangan kepada orang ramai berhubung isu tersebut.

“Kita pasti pandangan masyarakat akan berbelah bahagi, akan ada yang sokong, ada yang tak sokong.
"Jadi nak bagi orang semua faham, kita akan adakan penerangan. Wakil kita akan turun beri penerangan di masjid dan surau serta di tempat lain,” katanya.

Tiada ulasan: